Bertam, Pulau Pinang. Lawatan audit lokasi pindah premis bagi program Diploma Fisioterapi telah berlangsung pda 24 Januari 2024 bermula pada jam 8.00 pagi sehingga jam 2 petang bertempat di Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP), Kampus Bertam. Audit lokasi pindah premis adalah susulan perpindahan Program Diploma Fisioterapi daripada UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam ke UiTMCPP Kampus Bertam.
Lawatan audit ini dilaksanakan bagi memastikan kemudahan dan kelengkapan program yang disediakan oleh Kampus Bertam dan Fakulti Sains Kesihatan mencukupi dan mengikut garis panduan Malaysia Qualifications Agency (MQA). Program bermula dengan sesi pembentangan tentang latar belakang UiTMCPP oleh Ts. Dr. Wan Ismahanisa Ismail, Ketua Pusat Pengajian (KPP), Fakulti Sains Kesihatan mewakili Rektor UiTMCPP dan disusuli dengan pembentangan mengenai program Diploma Fisioterapi oleh Penyelaras Program, Haji Bahman Jamaluddin.
Sejurus selesai pembentangan, panel penilai MQA iaitu Encik Mohd Sharikh Dali Mahad melakukan sesi lawatan ke seluruh Kampus Bertam diiringi oleh KPP, penyelaras program dan ketua-ketua unit yang terlibat. Sesi lawatan ke beberapa tempat termasuk Bahagian Hal Ehwal Akdemik, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, makmal fisioterapi (makmal neurologi, makmal muskuloskeletal, makmal kardiorespiratori, makmal elektroterapi basah dan elektroterapi kering), Unit Kesihatan, Perpustakaan Tun Abdul Razak, serta lawatan ke Kolej Al-Zahrawi. Panel mengadakan sesi temubual secara berasingan bersama 5 pelajar Program Diploma Fisioterapi, pensyarah program dan Pegawai Pemulihan Perubatan yang mengendalikan latihan klinikal pelajar di hospital-hospital zon utara.
Rumusan lawatan telah dibentangkan oleh panel di dalam sesi penutup yang dihadiri oleh Professor Ir. Dr. Ahmad Rashidy Bin Razali (Rektor UiTMCPP) serta barisan pengurusan kanan yang lain. Panel berpuas hati dengan fasiliti yang ada di kampus, walau bagaimanapun beberapa penambahbaikan perlu dibuat untuk memastikan program Diploma Fisioterapi akan melahirkan graduan yang efisien dan tinggi nilai kebolehpasaran.
Program Diploma Fisioterapi UiTMCPP Kampus Bertam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada InQKA UiTM Shah Alam dalam menguruskan dokumen bagi audit lokasi, Rektor UiTMCPP dan barisan pengurusan kanan UiTMCPP, Ketua Pusat Pengajian serta semua unit yang terlibat semasa sesi lawatan audit berlangsung.