Perasmian Lukisan Mural di Pekan Pusing dan Menandatangan Persefahaman Antara Majlis Daerah Batu Gajah dan Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar

Pada 29 Januari 2024, satu acara perasmian dan menandatangan persefahaman antara Majlis Daerah Batu Gajah dan Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak telah berlangsung di pekan Pusing. Acara yang dianjurkan oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah ini merupakan majlis susulan dari projek penghasilan mural oleh Program Seni Halus, KPSK, UiTM Cawangan Perak. Projek ini merupakan projek kedua kerjasama antara pihak Majlis Daerah Batu Gajah dan UiTM Cawangan Perak. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Steven Tiw Tee Siang, ADUN Tronoh dan disaksikan oleh Prof. Madya Dr Nur Hisham Ibrahim selaku Rektor UiTM Cawangan Perak. Turut hadir pada majlis perasmian ini ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah iaitu Tn. Mohamad Razif Bin Ramli, Ketua Pegawai Operasi Tourism Perak iaitu Puan Zuraida Bt Md Taib dan Setiausaha Majlis Daerah Batu Gajah iaitu Tpr. Andri Ariff.

Seni mural yang sememangnya menjadi kepakaran Program Seni Halus, KPSK, UiTM Cawangan Perak, kampus Seri Iskandar sekali lagi telah diangkat untuk dijadikan sebagai medium komunikasi di tengah-tengah pekan Pusing, Batu Gajah. Seni mural seperti yang diketahui umum, mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyampaikan sesuatu cerita dan mesej secara visual. Pendekatan seni ini mempunyai nilai-nilai estetika yang dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia dan dalam masa yang sama dapat mendidik komuniti setempat untuk menghayati dan menghargai sejarah dan warisan mereka.

Menurut pengurus projek lukisan mural pekan Pusing iaitu Dr Syed Alwi Syed Abu Bakar, Pensyarah Kanan Program Seni Halus, KPSK UiTM Cawangan Perak, lukisan mural ini mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan dengan kekuatan seramai 22 orang tenaga kerja yang terdiri daripada beberapa orang pelajar dan pensyarah-pensyarah Program Seni Halus serta perunding mural yang juga merupakan alumni seni halus yang dilantik khas. Dr Syed Alwi juga menjelaskan, lukisan mural ini terbahagi kepada dua dinding bertemakan sejarah, makanan tradisional dan budaya masyarakat pekan Pusing.

Adalah menjadi harapan kepada kedua-dua belah pihak untuk melihat kolaborasi strategik ini diteruskan pada masa akan datang dan lebih banyak lukisan mural seumpama boleh dihasilkan. Lukisan mural bukan sahaja sebagai medium komunikasi yang mempunyai nilai-nilai estetika malah mampu menjadi satu daya tarikan pelancong, lebih-lebih lagi tahun 2024 telah diisytiharkan sebagai tahun melawat negeri Perak.