Akademi Pengajian Bahasa UiTM Pahang Kampus Jengka telah mematerai usahasama dengan Jabatan Agama Pahang (JAIP) pada 16 November 2023 yang lalu. Majlis menandatangani usahasama ini telah diadakan di Hotel Megaview, Kuantan dan bertujuan untuk menganjurkan Kursus Excellent Teaching in English (E-TiE) dan Excellent in Teaching in Arabic (E-TiA).
Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan memantapkan teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab kepada guru-guru bukan opsyen dari sekolah menengah agama dalam negeri Pahang. Di samping itu, kursus ini juga bertujuan untuk mengukuhkan semangat keilmuan dalam menyediakan satu medan perkongsian ilmu antara guru-guru dan pensyarah-pensyarah yang terlibat.
Prof Dr Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman (TREK PJI, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Pahang) dan Dato’ Haji Abdul Zaki Bin Md Zain, DIMP.,AMP. (Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP)) telah menandatangani Letter of Intent (LoI) sebagai simbol usahasama ini. Majlis ini turut dihadiri oleh Ustaz Azri Bin Salehuddin (Ketua Unit Pendidikan MUIP), Encik Ahmad Sukri Bin Mohamed Sodin, AMP. (Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang), Puan Apidah Binti Zakaria @ Daud (Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIP), Barisan Urusetia Bahagian Pendidikan JAIP, Barisan Pengetua SMAN dan SMA MUIP, Dr. Roslina Abd Aziz (Ketua Pusat Pengajian APB), barisan Urusetia, Pembentang dan Fasilitator APB serta guru-guru SMAN dan SMA MUIP.
Semoga kursus ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan bermanfaat bukan saja kepada tenaga pengajar dari sekolah menengah agama dalam negeri Pahang malah pensyarah-penyarah APB UiTM Pahang.