Graduan Perladangan dan Agroteknologi Mengharungi Cabaran ODL

SHAH ALAM: Bekas pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi dan Pengurusan Perladangan, Hanif Hamzah Hamizan, menerima Anugerah Naib Canselor pada Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 dengan CGPA 3.82 pada hari ini.

Memulakan pengajian di peringkat Diploma dalam jurusan Perladangan dan Agroteknologi di UiTM Jasin dan seterusnya menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda merupakan satu permulaan yang baik bagi penerima Anugerah Naib Canselor tersebut.

Pada tahun 2019, wabak Covid-19 telah melanda negara ini dan pusat pengajian merealisasikan inisiatif pengajian di atas talian atau dikenali sebagai Online Distance Learning (ODL) bagi melanjutkan pengajian. Meskipun perlu melanjutkan pengajian secara ODL, Hanif Hamzah tetap cekal dan berusaha bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang.

“Bidang ini memerlukan latihan praktikal seperti melawat kawasan ladang, di mana perkara tersebut akan memberikan pemahaman yang lebih baik kepada pelajar berbanding belajar secara teori dan menonton video sepanjang ODL.”

“Beberapa tips pembelajaran yang boleh dikongsikan adalah kita perlu mempunyai matlamat hidup bagi membolehkan kita mempunyai masa depan yang baik. Selain itu, membuat ulang kaji past year paper juga amat digalakkan.”

Setelah menamatkan pengajian, Hanif Hamzah telah memegang jawatan sebagai supervisor selama setahun di Genting Plantation Bhd. Kini, Hanif Hamzah menyandang jawatan sebagai Plantation Executive Advisor di syarikat yang sama bermula pada Oktober 2023.