KuPeKe 2023 Potensi Pemimpin Digilap, Persediaan Medepani Cabaran Globalisasi

SHAH ALAM, 19 November 2023 – Seramai 53 orang pelajar daripada kalangan Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) dan Majlis Tertinggi Persatuan/Kelab di Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) dari Kampus Shah Alam telah menghadiri Kursus Pemantapan Kepimpinan (KuPeKe) 2023 yang telah diadakan pada 17 November 2023 sehingga 19 November 2023 bertempat di Kalumpang Resort and Training Centre, Sungai Inki, Hulu Selangor. Sesi modul telah dikendalikan oleh 10 orang staf Pengurusan dan Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) KPK, di mana Prof. Ts. Dr. Azlina Idris, Dekan HEP KPK juga telah turut serta bersama menjadi fasilitator modul.

Kursus Pemantapan Kepimpinan (KuPeKe) adalah modul yang telah didaftarkan hakmilik di bawah HEP KPK. KuPeKe 2023 merupakan siri ke-3 penganjuran sejak KPK ditubuhkan pada tahun 2021. Modul KuPeKe ini telah dibangunkan bagi memantapkan lagi ciri kepimpinan serta pembinaan personaliti sebagai pemimpin, kemahiran berkomunikasi, dan pengurusan krisis/masalah dalam organisasi. Oleh itu, kursus ini diadakan bertujuan untuk memberikan bimbingan dan pendedahan kepada pelajar dalam memperkasakan diri menjadi seorang pemimpin berpersonaliti serta berkaliber dalam menguruskan dan menyelesaikan masalah di dalam organisasi. Penglibatan Pemimpin Pelajar KPK dalam kursus ini juga dapat memantapkan ukhuwah yang sedia ada dalam memastikan kelancaran setiap program yang bakal diadakan kelak. Selain itu, terdapat juga aktiviti fizikal yang menguji keupayaan dan minda pemimpin pelajar dalam menyelesaikan tugasan secara berkumpulan. Secara tidak langsung aktiviti berkumpulan juga meningkatkan kemahiran gerakkerja berpasukan dan kepentingan komunikasi berkesan bagi memastikan setiap perancangan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien. Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil Arshad, Ketua Kebajikan dan Kesejahteraan HEP KPK, juga telah berbesar hati menyampaikan taklimat keselamatan kepada pemimpin pelajar bagi memastikan pelajar cakna dan turut bertanggungjawab dengan keselamatan diri masing-masing sepanjang program dijalankan.

KuPeKe 2023 telah menerima sumbangan penajaan daripada Engineering Faculty Alumni Association (EFAA) of UiTM. Dua orang alumni kejuruteraan daripada EFAA iaitu Dato’ Ir. Ts. Abdul Manaf Hanafi (Presiden EFAA) dan Dato’ Ahmad Shafie (Exco EFAA) turut hadir bersama pada hari pertama kursus bagi sesi forum bertemakan ‘Leader in Me’, berkisar mengenai dunia kerjaya hari ini, termasuk perkongsian berkaitan ilmu keusahawanan dalam mendepani cabaran globalisasi. Sesi ini telah dimoderasikan oleh Saudara Mohamed Yusuf Hassan Roslan, Yang Dipertua MPP UiTM dan juga merupakan pelajar Pengajian Kejuruteraan Elektrik KPK.

Berdasarkan analisa dapatan “exit survey” yang diadakan kepada semua peserta, maklumbalas amat positif telah diberikan oleh para peserta dan mengharapkan program seumpama ini dapat diadakan di masa masa akan datang. Bagi yang berminat untuk mengadakan kursus kepimpinan menggunakan Modul KuPeKe HEP KPK, anda boleh berhubung dengan Dr Ts. Norbaya Haji Sidek (Ketua Kepimpinan dan Pembangunan Pelajar HEP KPK) dan Dr Miradatul Najwa Muhd Rodhi (Koordinator Persatuan Pelajar HEP KPK) di Pejabat Hal Ehwal Pelajar KPK, Aras 9, Menara 1, Kompleks Kejuruteraan Sultan Abdul Halim, UiTM.