Kursus Kecederaan Dalam Sukan (FSR-AKM)

Kursus Kecederaan Dalam Sukan baru-baru ini telah berlangsung dengan jayanya di Institut Semarak FELDA (ISEF), Bangi pada tarikh 19-21 Februari 2024. Kursus ini adalah inisiatif permintaan dari pihak Akademi Kecemerlangan MARA (AKM) kepada Fakulti Sains Sukan & Rekreasi (FSR) UiTM Shah Alam untuk melatih para pegawainya terhadap kaedah rawatan dan pencegahan kecederaan dalam sukan serta kaedah menangani tekanan stres di kalangan para pelajar kolej MARA. Tenaga pengajar dari FSR yang terlibat adalah Prof. Dr. Mohad Anizu Mohd Nor, Dr. Norasrudin Sulaiman, Dr. Mohd Zulkhairi Mohd Azam dan Encik Mohd Hanifa Bin Sariman. Manakala seramai 30 orang pegawai dari seluruh cawangan kolej MARA telah melibatkan diri sebagai peserta kursus.

 

Sepanjang kursus tersebut, para peserta telah diajar akan kaedah mengenal pasti jenis kecederaan dan cara merawatnya. Ditambah juga dengan kaedah ‘strapping’ dan ‘sport massage’ untuk mengalakkan proses baikpulih kecederaan dan mengurangkan risiko kecederaan. Dalam pada masa yang sama juga, para peserta didedahkan dengan teknik-teknik relaksasi untuk mengawal tahap agresif dan menangani tekanan. Selain daripada itu, mereka juga diajar kaedah senaman-senaman yang sesuai untuk mencegah kecederaan. Bagi memudahkan para peserta untuk memahami kandungan kursus, peserta bukan hanya diajar secara teori, malah pendekatan praktikal dan demonstrasi juga dilaksanakan oleh tenaga pengajar.

Kesimpulannya, hasil dari kaji selidik sebelum dan selepas kursus, dapat dilihat tahap penguasaan dan pengetahuan para peserta terhadap kursus ini. Kursus tamat pada slot yang terakhir pada 21 Februari 2024 dan diiringi dengan ucapan penutup dari wakil AKM serta sesi bergambar.