Webinar secara bersiri ini telah diadakan secara kerjasama antara Fakulti Senibina, Perancangan Dan Ukur (FSPU) dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, pada 23 Disember 2020 yang lalu secara atas talian menerusi applikasi Webex. Webinar ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada semua peserta, tidak kira samada yang telah ataupun bakal memiliki rumah. Rumah adalah satu tempat atau medan latihan dimana segalanya bermula. Ia bukan sekadar tempat untuk berteduh dari hujan dan panas, malah, rumah adalah satu tempat untuk memberi latihan rohani dan jasmani kepada ahli keluarga yang lain. Oleh yang demikian, penting untuk kita memastikan bangunan atau kediaman yang kita duduki itu berada dalam keadaan baik.
Kecacatan binaan dalam industri pembinaan atau perumahan adalah suatu masalah yang sering berlaku dan sering kita dengar di sekeliling kita. Tetapi, apa yang menarik tentang webinar ini adalah perkaitan antara kecacatan binaan dan Islam. Menurut penceramah webinar siri ke 6 ini, Ustaz Mohamad Solahuddin berkata, salah satu menipu dalam perniagaan ialah penjual menyembunyikan kecacatan (Al-Ayb) yang ada pada barangan yang dijual walaupun dia mengetahuinya. Oleh itu, pembeli rumah atau bangunan mempunyai hak untuk memilih (khiyar) dalam meneruskan atau menolak perjanjian kontrak dengan pemaju sekiranya berlaku kecacatan.
Tambahannya lagi, kecacatan binaan menurut perspektif shariah terbahagi kepada tiga, iaitu (1) kecacatan kecil (‘Ayb Khafif), seperti retak pada cat rumah, lubang kecil pada dinding dan lantai atau keretakan pada lapisan kalis air. (2) Kecacatan sederhana (‘Ayb Yasir), seperti rangka bumbung lusuh, saluran bekalan air rosak, penggunaan bahan binaan yang tidak berkualiti dan sebagainya. Dan (3) kecacatan besar / kritikal (‘Ayb Khathir) seperti sebahagian besar dinding rumah runtuh, rumah berhantu, asap tebal mengganggu pernafasan, terdapat semut yang banyak serta lain-lain lagi kecacatan besar. Oleh itu, jika terlalu banyak kecacatan atau tahap kecacatan pada bangunan itu terlalu tinggi, kontrak pembeli bersama pemaju boleh terbatal.
Antara isu-isu semasa yang dibangkitkan juga oleh penceramah adalah berkenaan kontrak ‘sales and purchase’ bagi rumah ‘sub-sale’ yang tidak jujur atau tiada ketelusan, reka bentuk rumah tidak sesuai dengan iklim di Malaysia, lokasi bangunan yang tidak sesuai seperti dibina diatas tanah kubur lama, atau bekas tapak pemujaan. Sebagai pembeli, kita mempunyai hak untuk memastikan rumah yang kita miliki itu bebas dari segala kecacatan yang ada atau bakal berlaku.