Kunjungan Pensyarah Antarabangsa Tingkat Kerjasama UiTM Sarawak- University of Social and Medical Studies, Poland.

UiTM Samarahan, Sarawak, 19 Disember 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak baru-baru ini menerima kunjungan daripada seorang pensyarah antarabangsa yang sangat disegani, Profesor Anna Bakiewicz dari Fakulti Pengurusan, University of Social and Medical Studies, Lublin, Poland.

Lawatan selama 2 hari oleh Profesor Anna telah mengadakan sesi perkongsian yang amat bermanfaat berkenaan “Program Mobiliti Erasmus” pada hari Isnin dan Selasa lalu, 18 dan 19 Disember 2023. Beliau turut berkongsi pengalaman luas serta kepakaran dalam bidang pengurusan di peringkat antarabangsa dengan para pelajar dan juga pensyarah.

Kunjungan ini merupakan satu peluang emas untuk meningkatkan hubungan dua hala antara universiti di Malaysia dan Poland. Sesi perkongsian beliau tentang program pertukaran pelajar Erasmus dan peluang penyelidikan telah membuka mata para pelajar dan pensyarah mengenai pelbagai kolaborasi yang boleh dijalinkan antara universiti pada masa hadapan.

Selain sesi umum bersama para pensyarah, satu sesi eksklusif turut diadakan khas untuk pensyarah-pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan bagi membincangkan cadangan kerjasama penyelidikan dan pertukaran staf di antara UiTM Sarawak dan universiti di Poland.

Adalah diharapkan lawatan dan perkongsian Profesor Anna ini merupakan permulaan kepada hubungan jangka panjang yang bakal terjalin antara universiti, justeru memanfaatkan para pelajar dan pensyarah dari Malaysia dan Poland di masa akan datang.