Kunjungan Hormat dan Lawatan Tapak Bagi Program Perhimpunan Pasukan Pelatih Institusi Kemahiran APM Kolej Komuniti Malaysia 2023 (HIPA 6.0)

MACHANG, 21 Jun 2023 – UiTM Cawangan Kelantan telah menerima Kunjungan Hormat dari Kolej Komuniti Negeri Kelantan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada 19 Jun 2023. Tujuan utama interaksi dua hala ini diadakan adalah untuk membincangkan persiapan bagi Program Perhimpunan Pasukan Pelatih Institusi Kemahiran APM Kolej Komuniti Malaysia 2023 (HIPA 6.0) yang dijangka berlangsung pada 6 – 8 Oktober 2023. Melalui siri perbincangan ini, UiTM Cawangan Kelantan telah dipilih sebagai tempat pilihan bagi perhimpunan dilaksanakan.

Kunjungan hormat ini terdiri daripada pengarah-pengarah kolej komuniti iaitu Encik Fathuddin Aizat Che Mohd Ariff dari Kolej Komuniti Pasir Mas, Encik Nik Ahmad Rizal Ismail dari Kolej Komuniti Kok Lanas dan Encik Mohd Shaifullah Mohd Daus dari Kolej Komuniti Jeli serta pegawai-pegawai dari Kolej Komuniti seluruh Negeri Kelantan. Turut serta bersama kunjungan ini adalah wakil dari Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kelantan iaitu Kapt. (PA) Muhammad Shafie Rosslee dan juga pegawai-pegawai Pertahanan Awam Daerah Machang.

Yang Berbahagia Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, selaku Rektor UiTM Cawangan Kelantan menyambut baik kunjungan ini dan menyatakan hasrat bagi menjalinkan hubungan yang lebih akrab bersama Kolej Komuniti Negeri Kelantan melalui perjanjian persefahaman pada masa akan datang. Usai perbincangan mengenai perancangan program, Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTMCK dan Lt. Kol. Bersekutu (PA) Wan Mohd Firdaus Wan Mohamad, Ajutan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam UiTM Cawangan Kelantan mengiringi tetamu kunjungan hormat bagi mengadakan lawatan tapak ke fasiliti-fasiliti UiTM yang terlibat.