KPT-UiTM Prihatin Keluarga Malaysia Tampil Misi Serampang Dua Mata Di Johor

JOHOR, 12 MAC 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) tampil mengadakan misi bantuan dengan menggerakkan aset dan tenaga melalui program serampang dua mata anjuran KPT-UiTM Prihatin Keluarga Malaysia di negeri Johor. Misi ini digerakkan oleh Briged Sukarelawan Bahagian HEP UiTM Shah Alam serta UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat dan Pasir Gudang Johor. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, YBhg. Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor HEP selaku Pengerusi bagi inisiatif program ini bersama-sama dengan Prof. Dr. Hj.Ismail Ahmad, Rektor UiTM Cawangan Johor, Prof. Madya Dr Mohd Azman Yahya, Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Basaruddin Shah Bin Basri, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar serta 50 sukarelawan UiTM telah turun padang dalam menjayakan program ini.

Dalam misi ini, dua program telah dijalankan. Program pertama adalah Ziarah Mahasiswa UiTM DiHatiku iaitu lawatan menziarahi rumah pelajar di sekitar Kg. Bukit Mor Sg. Balang, Kg. Seri Menanti Sg. Balang dan Kg. Sarang Buaya Sg. Balang. Program ini merupakan salah inisiatif BHEP UiTM untuk menyantuni pelajar – pelajar UiTM khususnya pelajar B40 yang telah lama tidak kembali ke kampus dan menjalani pengajian secara dalam talian sejak hampir 2 tahun lalu. Ia juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas pelajar mengenai masalah yang dihadapi sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran secara terbuka dan jarak jauh (ODL) dan melibatkan isu kebajikan pelajar.

Manakala program kedua adalah Gotong Royong Beautiful @ Johor Siri 2 merupakan program khidmat masyarakat yang melibatkan 50 sukarelawan UiTM membantu masyarakat setempat. Program kali ini melibatkan program pencucian dalaman seperti susun atur perabot, vakum kawasan sekitar dan mengecat tiga buah surau iaitu Surau Sg. Pulai, Surau Seri Menanti Darat dan Surau Seri Menanti Darat Tengah.

Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor melahirkan rasa bangga dengan usahasama murni KPT-UiTM Prihatin Keluarga Malaysia ini kerana secara tidak langsung dapat menanam sikap keprihatinan dan kepimpinan dari kalangan mahasiswa UiTM selain dapat mengeratkan silaturahim bersama komuniti.