SHAH ALAM, 29 NOVEMBER 2022 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPEN) Malaysia Cawangan Selangor di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan Kelab Media Komunikasi (MEDCOMM) Siswa, UiTM Shah Alam telah menganjurkan program Komunikasi Tindakan Setempat (KOMTIS) bertempat di Dewan Platinum Kolej Melati, UiTM Shah Alam. Program ini merupakan inisiatif pihak BHEP UiTM dan JaPEN Negeri Selangor bagi melaksanakan program yang bertepatan dengan objektif Hal Ehwal Pelajar (HEP) iaitu dalam merangka dan melaksanakan program pembangunan pelajar yang bersepadu dan berterusan serta mempunyai nilai tambah bagi mewujudkan lulusan yang bersifat holistik.
Seramai 100 orang warga UiTM Shah Alam yang terdiri daripada mahasiwa dan staf UiTM terlibat dalam program ini. Turut dijemput iaitu saudara Ally Iskandar Mohd Mardzi, Eksekutif Produser dari Media Prima di dalam slot “Media Sosial: Selera Anak Muda” bagi berkongsi perspektif dan pandangan beliau bersama-sama mahasiswa dan staf UiTM di dalam pengurusan informasi dan hiburan alam maya. Program ini juga merupakan salah satu medium perhubungan di antara komuniti UiTM Shah Alam bersama Jabatan Penerangan Negeri Selangor bagi menyebar luaskan sebarang maklumat jabatan kepada komuniti.
Program ini turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), UiTM Shah Alam dan Ybrs. Puan Wan Norhana Mohammad, Pengarah Jabatan Penerangan (JaPEN) Malaysia Cawangan Selangor dan Encik Muhammad Faiz Amzar Mohd Arif, Penolong Pengarah Cawangan Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Jabatan Penerangan Malaysia Selangor.Mahasiswa yang hadir teruja dengan topik yang dibincangkan secara santai bersama Ally Iskandar sedikit sebanyak memberi pendedahan mengenai media sosial dari pelbagai perspektif. Di samping itu, turut menjadi tumpuan semasa program ini berlangsung adalah Pertandingan kuiz kahoot yang menguji pengetahuan mahasiswa terhadap sejarah dan pengetahuan am mengenai Malaysia.
Fokus kepada tangani penipuan secara dalam talian serta berita palsu merupakan intipati penting YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi dalam ucapannya bersama mahasiwa. Beliau berkata bahawa kesedaran dan pendidikan secara berterusan mengenai perkara ini mampu mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber. Beliau berharap agar mahasiswa bijak dalam menguruskan segala perkongsian dan informasi yang diterima melalui platform media sosial bagi menjadi mahasiswa yang celik siber. Justeru setiap individu harus memainkan peranan dengan bertanggungjawab serta mempunyai kesedaran yang tinggi dalam penggunaan media sosial. Sebarang kandungan yang dilayari dan dikongsikan mestilah sesuatu yang dapat memberikan manfaat serta dorongan ke arah kebaikan.