KOMED: Membangkit Semangat Kesukanan di Kalangan Pelajar UiTM Melaka Kampus Alor Gajah

MELAKA, 16 Ogos 2023 – Kelab Komunikasi dan Media (KOMED) di UiTM Melaka Kampus Alor Gajah telah muncul sebagai tonggak utama penyumbang semangat kesukanan di kalangan pelajar Diploma Komunikasi dan Media (MC110). Dengan menggerakkan dan mendorong pelajar untuk menggali bakat dalam sukan, KOMED berjaya menyuntik semangat kesukanan selain menyediakan elemen riadah dalam kehidupan pelajar.

Presiden KOMED, Afeeffudin Kamaror menyatakan bahawa semangat kesukanan merupakan inti kepada pembentukan pelajar yang seimbang dan cemerlang. “KOMED percaya bahawa nilai-nilai sukan yang dihayati oleh pelajar akan memberikan tambahan yang bermakna dalam perkembangan mereka,” kata Afeeffudin.

Di antara pencapaian cemerlang pelajar-pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dalam program Sukan Antara Program (SUPRO) adalah Johan dalam Acara pasukan Sorak, Naib Johan Tenis Wanita, tempat ketiga dalam acara Bola Keranjang Lelaki dan serta kedudukan dalam Top 10 Night Run. Selain itu, Pensyarah Penasihat pasukan MC110, Puan Siti Nurshahidah Sah Allam telah dianugerahkan Anugerah Kepimpinan kategori Pensyarah (Wanita) untuk acara SUPRO kali ini.

Afeeffudin turut berkata sekalipun tidak berjaya memenangi semua pertandingan, KOMED berasa berbangga kerana dapat menyumbangkan semangat kesukanan kepada pelajar, selain menjadi pencabar yang digeruni di arena pertandingan. “Cabaran kita adalah untuk memulakan latihan lebih awal dan lebih bersungguh-sungguh. Kami percaya bahawa melalui usaha berterusan dan sokongan ramai pelajar, KOMED akan terus menjadi pendorong utama dalam menanam semangat kesukanan di kalangan pelajar,” tambah Afeeffudin lagi.

Penasihat utama KOMED, Encik Amir Nor Azan Samar, turut memberikan inspirasi kepada pelajar untuk menyertai aktiviti kesukanan. Turut memberikan sokongan padu ialah penasihat KOMED 2 dan jurulatih acara Bola Baling, Encik Muhammad Firdaus Amairudin yang berharap aktiviti seumpamanya mampu penggalakkan pelajar membina fizikal yang sihat, selain bersemangat dan berdisiplin.

KOMED telah ditubuhkan sejak tahun 2006 ketika program ini bermula di Lendu, Alor Gajah, Melaka. Sejak itu, KOMED telah memainkan peranan penting dalam memupuk minat dan semangat di dalam pelbagai aktiviti pembangunan pelajar meliputi akademik, penganjuran acara, aktiviti kesukarelawan dan kesukanan di kalangan pelajar MC110 yang berjumlah lebih 400 orang pada semester ini.