Pusat Kebudayaan UiTM Shah Alam telah berjaya menganjurkan program KARNIVAL BUDAYA KOLEJ UiTM (KARYAKU) 2021 secara atas talian iaitu sebuah program pertandingan Kesenian & kebudayaan di antara kolej kediaman UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Selangor. Program ini telah berlangsung pada 7-25 Disember yang lalu melalui saluran Youtube Pusat Kebudayaan UiTM Shah Alam. KARYAKU 2021 disertai oleh 11 kolej kediaman yang terdiri dari lebih 400 pelajar dan staf kolej di dalam 8 acara dipertandingkan.
Dalam edisi KARYAKU 2021 kali ini, acara yang dipertandingkan adalah Tarian Rampaian Tradisional, Sayembara Puisi, Bakat Staf, Monolog Digital, Dokumentari Budaya, Nyanyian Solo Moden dan Nyanyian Solo Irama Malaysia dan Pengurusan Acara. Pusat Kebudayaan telah memperkenalkan acara baru iaitu Dokumentari Budaya bagi menggalakkan inovasi baru dalam penyampaian ilmu seni dan budaya kepada warga UiTM.
Malam Gala KARYAKU 2021 telah diadakan pada 25 Disember 2021 di saluran youtube Pusat Kebudayaan UiTM bagi meraikan pencapaian semua kolej kediaman setakat ini dan juga malam penyampaian hadiah kepada semua pemenang. Bagi tahun ini, Kolej Melati telah muncul sebagai Juara Keseluruhan sekaligus telah merampas kembali kejuaraan dari Kolej Perindu pada edisi KARYAKU 2019. Kolej Delima telah merangkul Naib Juara Keseluruhan manakala Non Resident UiTM Shah Alam merangkul tempat ketiga keseluruhan. Pemenang menerima piala, wang tunai & sijil penghargaan.
KARYAKU 2021 dianjurkan di kala pandemik COvid-19 masih berleluasa di dalam negara. Demi meningkatkan kesejahteraan pelajar UiTM, pertandingan secara atas talian telah dicadangkan bagi mengambilkira standard operasi dan keadaan semasa. Pengalaman mengadakan pertandingan secara atas talian ini adalah pengalaman baru buat Pusat Kebudayaan dan semua kolej kediaman yang terlibat. Pelbagai kebaikan dan kelemahan telah dikenalpasti bagi meningkatkan mutu standard persembahan pertandingan seterusnya.
Tetamu kehormat pada Malam Gala, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM dalam ucapannya berharap agar penganjuran KARYAKU 2021 dapat melestarikan kesenian dan kebudayaan di samping melahirkan pelajar dan staf yang berkemahiran tinggi dan mampu bersaing dalam pasaran luar. Beliau juga berharap pertandingan ini dapat diperluaskan lagi kepada peringkat yang lebih tinggi & penjenamaan KARYAKU boleh diperluaskan di peringkat kampus negeri.
Pengarah Program KARYAKU 2021 merangkap Koordinator Pusat Kebudayaan, En Mohd Hafiz Askiak merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dan berharap usaha Pusat Kebudayaan UiTM dalam memberi pendedahan dan melestarikan kegemilangan kesenian Malaysia kepada pelajar melalui atas talian disambut baik oleh semua pihak dan usaha-usaha memperkasa dan mempromosi budaya bangsa patut diteruskan lagi.
Semua persembahan kolej kediaman boleh ditonton di saluran youtube Pusat Kebudayaan UiTM Shah Alam. Komen membina boleh disalurkan ke medium sosial tersebut sebagai penambahbaikan KARYAKU akan datang