Penganugerahan Diploma dan Ijazah Secara Janji Temu Sesi Konvokesyen Ke-92 UiTM Cawangan Sabah

KOTA KINABALU, 30 DISEMBER 2021 (KHAMIS) : Majlis Penganugerahan Diploma dan Ijazah Sesi Konvokesyen UiTM ke-92 telah diadakan pada 28 dan 29 Disember 2021 bertempat di Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah (UiTMCSH) kampus Kota Kinabalu. Sidang penganugerahan di UiTMCSH merupakan sesi terakhir penganugerahan diploma dan ijazah secara temu janji yang tertangguh ekoran pandemik Covid-19 dan merupakan kesinambungan format konvokesyen yang telah dilaksanakan di semua cawangan UiTM.

Rektor UiTM Cawangan Sabah, YBhg. Datuk Profesor Madya Dr. Haji Abdul Kadir Rosline, dalam kenyataan media memaklumkan bahawa seramai 558 orang graduan terlibat dalam sesi penganugerahan diploma dan ijazah kali ke-92 ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan prosedur keselamatan yang telah digariskan.

“Seramai 298 orang graduan telah menerima diploma dan ijazah dalam bidang masing-masing pada Selasa, 28 Disember. Manakala, sejumlah 260 orang graduan lagi menerima diploma dan ijazah pada Rabu, 29 Disember. Daripada jumlah tersebut, seramai 32 graduan turut menerima Anugerah Naib Canselor. Syabas dan tahniah kepada semua graduan UiTM yang diraikan. Saya berpuas hati majlis konvo ini dapat dilaksanakan secara teratur walaupun telah tertangguh beberapa kali,” ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang graduan penerima Anugerah Naib Canselor, Dk Nur Raihanah Binti A. Sulaiman menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa, para pensyarah serta rakan seperjuangan yang banyak membantu beliau sepanjang pengajian di UiTM. Graduan Diploma Pengajian Perbankan itu, turut mengucapkan terima kasih kepada UiTM atas inisiatif untuk mengadakan sesi penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu.