Kolej Dahlia UCS Komited Dalam Menjaga Kebajikan Warga Kolej

Pandemik Covid-19 merupakan satu cabaran global yang telah mengubah gaya hidup dan kebiasaan masyarakat dan memberi kesan terhadap sistem pendidikan tinggi di Malaysia. Ianya bermula pada 18 Mac 2020, selepas menerima arahan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dikeluarkan kepada semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia. Fokus utama ketika itu adalah bagi menguruskan pelajar yang masih berada di kolej yang terkesan bukan sahaja dari segi fizikal, mental dan pergerakan sosial mereka.

Gabungan mantap antara pihak pengurusan yang diketuai oleh Pengetua Kolej Dahlia, Unit Pengurusan Kolej (UPK), Staf Residen Kolej (SRK), Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Kolej (JPK) dan Sukarelawan Dahlia yang sentiasa prihatin dengan keperluan pelajar dilihat sebagai satu strategi terbaik dalam pengurusan pelajar walaupun dalam keadaan krisis.

Selain daripada itu, Bilik Gerakan Covid, Kolej Dahlia telah diaktifkan bertujuan untuk menyelaras dan mengkoordinasikan aktiviti dan pengurusan pelajar bagi memastikan kesihatan, keselamatan, dan kebajikan pelajar terpelihara. Disamping itu, bilik ini juga digunakan bagi menempatkan bekalan makanan kering (Food Bank) dan keperluan pelajar yang diberikan secara percuma hasil daripada kerjasama Pihak Pengurusan UiTM Cawangan Selangor (UCS) khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Memandangkan kapasiti pelajar yang agak ramai, Kolej Dahlia telah membangunkan satu sistem komunikasi yang sangat baik bertujuan untuk penyampaian maklumat dan mendapatkan respons daripada pelajar khususnya yang amat tertekan dengan cabaran baru ini. Disamping itu, pihak kolej juga amat prihatin dengan aduan dan respon daripada ibubapa yang juga terkesan akibat daripada PKP Covid-19 ini. Pihak Kolej juga mendapat kerjasama yang sangat baik dengan pihak pengerai yang bukan sahaja berjaya membekalkan makanan dengan baik, bahkan berupaya memenuhi permintaan pelajar bagi membantu mengurangkan tekanan yang mereka lalui sepanjang melalui PKP di kolej.

Pengurusan pelajar juga ditambahbaik dengan perkhidmatan daripada Unit Kesihatan, Unit Kaunseling dan pihak Polis Bantuan dalam usaha memastikan tahap kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan pelajar terjamin. Sepanjang bulan pertama PKP ini, pihak kolej telah menjalankan kajian bagi menilai tahap kepuasan hati pelajar terhadap perkhidmatan yang diberikan, Hasil daripada kajian tersebut, penambahbaikan telah diambil bagi memastikan pelajar berpuashati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Selain daripada itu, kajian mengenai kesan sesuatu kejadian (The Impact of Event Scale) juga dijalankan bagi memantau terkesanan pelajar dengan PKP dan pandemic ini. Justeru itu, pelbagai kaedah telah dijalankan bagi memastikan kesihatan mental dan emosi pelajar terpelihara dengan baik. Antaranya dengan mewujudkan “Diari Covid’, Pertandingan mencipta Info-Grafik dan Video Keatif, bacaan Surah Yassin secara virtual telah dijalankan. Tidak ketinggalan, bagi pelajar bukan islam, pihak kolej prihatin dan sentiasa mengambil berat akan aktiviti kerohanian mereka.

Pihak kolej juga telah bekerjasama dengan fakulti dalam penyediaan PPE kepada frontliner dimana proses pemotongan dan jahit semua dijalankan oleh pelajar dengan diselia oleh pensyarah terlibat dan SRK. Semasa proses pengajian bermula secara “online”, pihak kolej telah memastikan keperluan pelajar seperti “internet” dan kelengkapan tidak menjadi masalah untuk pelajar meneruskan pengajian mereka dengan baik. Selepas tempoh pengajian berakhir adalah proses penghantaran pelajar pulang. Pihak kolej telah memastikan semua maklumat pelajar, kelengkapan diatur dengan baik dan mengikut SOP yang ditetapkan dan semua pelajar telah berjaya dihantar balik dengan baik.

Pelajar ditindaksusul sehingga mereka selamat sampai di rumah masing-masing kerana pelajar terpaksa melalui banyak proses sebelum berjaya sampai di rumah terutama bagi pelajar daripada Sabah dan Sarawak. Cabaran menguruskan pelajar sepanjang PKP dan Pandemik Covid-19 ini memang sesuatu yang diluar jangka dan baru kepada pihak kolej. Bagaimanapun dengan kepimpinan yang berkesan terutama daripada pihak UCS, dan kerjasama yang erat antara warga Dahlia membuktikan perkara yang berat menjadi ringan apabila dikerjakan bersama.