SHAH ALAM, 18 April 2022 – Satu kolaborasi pintar antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Usahasama Pakar Cerun Sdn Bhd dicetuskan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini.
UiTM melalui Pejabat Jaringan Industri, Alumni dan Komuniti (ICAN), Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) telah memeterai kerjasama pintar yang bertujuan untuk meningkatkan kepakaran, pembangunan sistem dan produk penyelidikan kepada para pensyarah dan kakitangan Usahasama Pakar Cerun Sdn Bhd dalam bidang penyelenggaraan cerun serta kejuruteraan geoteknik, khususnya dan kejuruteraan awam, amnya.
Kolaborasi ini menawarkan pelbagai inisiatif yang melibatkan rangkaian penyelidikan dan pembangunan produk, perkhidmatan ujikaji sistem dan produk di makmal dan lapangan, perkongsian kemudahan peralatan dan maklumat, penempatan pensyarah atau pelajar bagi tujuan latihan industri, peningkatan kaedah pembelajaran serta perkhidmatan latihan pembangunan bagi pensyarah dan kakitangan Usahasama Pakar Cerun Sdn Bhd.
Pemeteraian memorandum telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Janor, Naib Canselor UiTM, bersama YM Raja Dato’ Sri Sulaiman Raja Shariff, Pengerusi Usahasama Pakar Cerun Sdn Bhd, dengan disaksikan oleh YBhg. Prof. Sr. Ir. Dr Suhaimi Abdul Talib, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan dan Tn. Hj. Lob Muhammad Abdul Shukur, CEO Usahasama Pakar Cerun Sdn Bhd.
Terdahulu YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr Roziah Janor dalam ucapannya berkata, “Kerjasama erat antara UiTM dan Usahasama Pakar Cerun Sdn Bhd akan membawa pelbagai solusi alternatif kepada agenda Pelan Induk Cerun Negara 2009-2023, dan bukan hanya terbatas kepada kerja-kerja penyelenggaraan cerun tetapi juga kaji selidik risiko dan bahaya serta pemantauan cerun.”
Dengan termeterainya memorandum ini dilihat akan merancakkan lagi kerjasama dari segi perkongsian kepakaran dalam bidang pengajaran dan inovasi serta pelaksanaan aktiviti bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru, komitmen padu daripada semua pihak akan menghasilkan lebih banyak lanjutan kerjasama berkualiti dalam bidang berimpak tinggi terutamanya dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0