Kolaborasi Pintar UiTM Dengan Nilai University

SHAH ALAM, 18 Ogos 2022 – Satu kerjasama strategik antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Nilai University telah dicetuskan melalui satu sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini.

UiTM melalui Pejabat Jaringan Industri, Alumni dan Komuniti (ICAN), Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) telah memeterai kerjasama strategik yang bertujuan untuk mempromosikan dan memperkukuh lagi bidang kepakaran serta kerjasama antarabangsa dari segi penyelidikan, dan pengajaran dan pembelajaran, bagi kesaksamaan dan faedah bersama.

Kolaborasi ini telah mengenalpasti pelbagai inisiatif bersama yang melibatkan perkongsian bidang kajian kepakaran dan penyelidikan, pembangunan modal insan yang melibatkan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah setiap institusi, penganjuran simposium, persidangan, atau kursus-kursus pendek, serta pertukaran maklumat berkaitan perkembangan pengajaran dan pembelajaran.

Pemeteraian memorandum telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Janor, Naib Canselor UiTM, bersama YBhg. Dato’ Dr. Azhar Ismail, Naib Canselor Nilai University, dengan disaksikan oleh YBhg. Prof. Sr. Ir. Dr Suhaimi Abdul Talib, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan dan Ts. Harlina Harun, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Sains, dan Teknologi, Nilai University.

Antara bidang yang akan diterokai bersama adalah Teknologi Kejuruteraan Penerbangan yang mana kedua-dua institusi mempunyai kekuatan masing-masing dari segi program yang ditawarkan serta bidang penyelidikan dan inovasi yang boleh disinergikan kerjasama.

Dengan termeterainya memorandum ini, diharap akan meningkatkan lagi aktiviti-aktiviti perkongsian kepakaran dalam bidang kajian, inovasi, serta pengajaran dan pembelajaran antara pensyarah dari kedua-dua institusi. Kerjasama dan komitmen yang berterusan daripada keduanya amat diharapkan bagi memastikan setiap inisiatif dapat menghasilkan hasil kajian yang berimpak tinggi, serta graduan yang berkualiti dan cemerlang.