Khusus Kepimpinan Bakal Calon Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2023 ‘Grooming Future Leaders’

6 – 8 Januari 2023 – Program Khusus Kepimpinan Bakal Calon Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2023 ‘Grooming Future Leaders’ telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Unit Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar bersama Majlis Perwakilan Pelajar sesi 20/21, UiTM Cawangan Pulau Pinang. Kursus yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini bermula pada 6 sehingga 8 Januari 2023 bertujuan untuk mengukuhkan peranan dan menyerlahkan lagi daya kepimpinan serta melahirkan barisan pemimpin pelajar yang berwibawa.

Kursus ini menyediakan ruang berinteraksi dan perbincangan secara santai kepada para peserta untuk membina potensi diri melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan. Antara pengisian aktiviti adalah seperti sesi mengenali diri serta rakan-rakan; gerak semangat kerja berpasukan; motivasi dalam aktiviti permainan dan kumpulan dinamik.

Seramai 35 orang pelajar dari kampus Permatang Pauh dan kampus Bertam telah menghadiri khusus kepimpinan. Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang, PM Ts Dr Basharuddin Abdul Hadi turut menyampaikan amanat dan menaruh harapan yang tinggi kepada peserta agar sentiasa kompeten, komited dan cekap seiring dengan peredaran zaman dan teknologi.

Diharapkan dengan pelaksanaan Kursus Kepimpinan Bakal Calon Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2023 kali ini dapat menyerlahkan lagi potensi dan menyemarakkan lagi semangat kepada semua bakal calon untuk pembangunan diri pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang dari aspek sahsiah, akademik dan kokurikulum. Semoga pengisian program ini memberi kesan dan impak kepada yang hadir.