Intervensi pelajar UiTM Dalam Pelaksanaan KBAT Pelajar Sekolah melalui ‘Knowledge Transfer Program’ dibawah inisiatif SULAM KPT

Shah Alam, 8 Jan – Seramai lima orang pelajar Pengajian Kejuruteraan Mekanikal daripada Kolej Pengajian Kejuruteraan telah menganjurkan ‘Knowledge Transfer Program’ – Bengkel Pendedahan Arduino kepada 30 pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18, Shah Alam di bawah program Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Bengkel ini dijalankan di bawah subjek MEC600 Engineering in Society dengan kerjasama NGO Persatuan Inovasi Teknologi Asistif (PINTAS). Program ini dilaksanakan bertujuan untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan penilaian mata pelajaran Engineers in Society bagi Pengajian Kejuruteraan Mekanikal untuk pelajar Semester 7 Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan kepujian (EM220).

SULAM ialah pengalaman pendidikan berasaskan kursus dan memberi kredit di mana pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti perkhidmatan berstruktur yang memenuhi keperluan komuniti yang telah dikenal pasti. SULAM merupakan satu inisiatif terkini Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menggabungkan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti. Inisiatif ini bertujuan memberi pengalaman pembelajaran yang menghubungkaitkan teori dan praktis dengan penyelesaian permasalahan sebenar dalam komuniti.

Bengkel ini memfokuskan kepada sesi seminar pendedahan asas kemahiran Arduino, dengan melaksanakan bengkel asas pengekodan serta mengaplikasikan secara praktikal penggunaan TinkerCAD dan Arduino. Arduino adalah platform ‘open-source’ untuk membina prototaip berasaskan eletronik. Bengkel berlangsung selama dua hari bermula 7 Januari sehingga 8 Januari 2023 di Makmal Komputer SMK Seksyen 18 dimulai dengan tiga sesi teori pengekodan daripada penceramah jemputan terdiri daripada alumni pelajar Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM. Kemudian diteruskan dengan sesi simulasi menggunakan TinkERCAD dan hands-on Arduino. Bengkel disudahi dengan pertandingan merekacipta produk menggunakan litar Arduino dan dinilai oleh para fasilitator, guru-guru SMK Seksyen 18 dan pensyarah UiTM.

Bengkel ini mendapat tajaan daripada NGO PINTAS, McDonald’s Malaysia, SMK Seksyen 18 dan pendanaan khalayak (crowdfunding). Kit asas Arduino untuk kegunaan pelajar sekolah adalah tajaan daripada NGO PINTAS.