Bagi menyahut saranan Program Pembangunan Negara Bersatu untuk bidang SDG 3: “Memastikan kehidupan yang sihat dan meningkatkan kesejahteraan pada semua peringkat usia”, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) dari UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program Khidmat Masyarakat dan ‘Empowering Healthy Activity For Better Lifestyle’ Siri II, di perkampungan Orang Asli kaum Batek yang terletak di Kuala Sat, Pahang pada 12 sehingga 13 Oktober 2022.
Program ini adalah dianjurkan dengan kerjasama dari pihak luar iaitu dengan Institut Sains Biologi (ISB) dari Fakulti Sains, Universiti Malaya melalui projek khas mereka iatu ‘Rimba Project 2.0’. Program ini bertujuan untuk mendidik warga komuniti orang asli kaum Batek akan kesedaran kepentingan pendidikan untuk masa hadapan serta penerapan akan amalan gaya hidup yang sihat. Fokus utama adalah lebih kepada golongan kanak-kanak Orang Asli kaum Batek tersebut di mana mereka diberikan buku menulis, buku mewarna dan alat tulis dengan hasrat untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap asas-asas pendidikan. Selain itu, FSR bersama-sama ISB turut memberi sumbangan dari segi kewangan, berkongsi kepakaran dan pengetahuan mengenai kepentingan biodiversiti serta memberi sumbangan berbentuk makanan asas.
Aktiviti di perkampungan Orang Asli kaum Batek dimulakan dengan sambutan dari wakil tok batin dan penerangan berkenaan sejarah penubuhan kampung, gaya hidup dan meninjau persekitaran komuniti orang asli. Seterusnya, pihak FSR dan ISB dipertunjukkan akan demonstrasi menyumpit dan membuat unggun api yang mana adalah gaya hidup utama di kalangan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup. Serba sedikit ia membuka perspektif pihak kami di dalam memahami dan mendalami kehidupan mereka yang banyak bergantung kepada hasil flora dan fauna di sekeliling mereka.
Sepanjang program berlangsung di Kuala Sat, pihak FSR dan ISB telah diberikan perkhidmatan dan layanan yang terbaik dari pihak Sat Lodge & Services. Kemudahan penginapan yang baik, layanan suasana kampung yang penuh dengan keramahan dan kemesraan, ditambah pula fasiliti yang lengkap serta bantuan dari segi logistik dan perancangan aktiviti adalah amat dihargai. Adalah disyorkan lokasi Kuala Sat ini dijadikan sebagai pusat tumpuan eko-pelancongan yang mana para pengunjung berpeluang merasai suasana damai kampung dan dikelilingi pula dengan spesis flora dan fauna yang masih terpelihara. Ianya adalah sesuatu yang sangat unik dan menenangkan dan pasti memberikan pengalaman yang berbeza.
Penganjuran program ini, bukan sahaja memberi pengetahuan tentang perkara yang dipelajari dan mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan program kemasyarakatan. Melalui program yang dianjurkan ini juga, dapat meningkatkan tahap kefahaman serta mempelajari budaya masyarakat yang berbeza. Selain itu, segala pengalaman yang diperoleh daripada program ini diharapkan dapat memperkukuhkan sistem nilai yang sedia ada dalam diri sendiri. Walaupun bidang kepakaran pihak FSR dan ISB adalah berbeza, namun ianya tidak menjadi isu kerana kedua-dua pihak dapat mencapai persefahaman dan berkerjasama dengan baik di dalam merangka dan melaksanakan aktiviti program dengan baik dan memberi manfaat kepada komuniti Orang Asli serta kepada kelangsungan biodiversiti di sekitar Kuala Sat. Adalah diharapkan jalinan kerjasama seumpama ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan agar boleh memperbanyakkan lagi perkongsian kepakaran kepada komuniti. Jawatankuasa pelaksanaan program ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak ISB dan komuniti setempat di Kuala Sat di atas kerjasama dan layanan baik yang diberikan dalam menjayakan program ini.