Sukarelawan Hero Kebersihan UiTM Pahang

Sukarelawan Hero Kebersihan merupakan satu inisiatif di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk mengumpulkan sukarelawan-sukarelawan dalam pelaksanaan aktiviti berkaitan kebersihan persekitaran. Sukarelawan yang berdaftar berpeluang untuk menyertai program-program yang dianjurkan oleh SWCorp melibatkan penggunaan modul sukarelawan, aktiviti di lapangan dan program anjuran SWCorp di seluruh negeri.

Objektif program ini adalah:-
• Menggalakkan aktiviti sukarelawan berkaitan kebersihan persekitaran dan amalan 3R;
• Memupuk semangat cintakan kebersihan dan menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai satu tanggungjawab bersama; dan
• Memberi pendedahan kepada sukarelawan mengenai pengurusan sisa pepejal dan amalan 3R melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.

Pusat Pengajian Industri Perkayuan (PPIP), Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Pahang telah mendaftar sebagai sukarelawan Hero Kebersihan dan telah menjayakan program World Clean Day (WCD) 2022 pada 22 September 2022 bertempat di Bengkel Industri Perkayuan. Seramai 25 orang peserta daripada warga PPIP telah terlibat dalam program mengumpulkan barangan buangan kitar semula. Bahan buangan yang berjaya terkumpul dalam program ini adalah sebanyak 117kg, yang ianya terdiri daripada kertas (34.84 kg), plastik (23.02 kg), getah (8.17 kg), kaca (22.79 kg) dan besi (29.36 kg).

Penglibatan dalam aktiviti sukarelawan kebersihan persekitaran ini adalah merupakan usaha PPIP dalam menyahut baik Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG) yang telah ditetapkan. Antara agenda yang dapat dipetakan kepada matlamat tersebut adalah Agenda ke 12; Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, iaitu memberi tumpuan utama kepada pengumpulan bahan terbuang yang boleh dikitar semula. Manakala bagi agenda ke 15; Kehidupan di Darat turut memberi tumpuan kepada keperluan menguruskan bahan buangan dalam kampus secara sistematik. Aktiviti Sukarelawan Hero Kebersihan ini wajar diteruskan pada masa akan datang agar dapat mewujudkan keseimbangan manusia dengan alam sekitar dan kebersihan bumi dapat terus kekal terpelihara.