Industri kreatif sememangnya menjanjikan pulangan lumayan. Peluang mempelajari selok belok perniagaan berkonsepkan Digital Art Market ini dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar Program Pendidikan Seni dan Senireka Fakulti Pendidikan UiTM Cawangan Selangor menerusi seminar secara atas talian yang dianjurkan oleh Fakultas Bahasa dan Seni, Universitas Negeri Surabaya (UNESA) Indonesia pada 27 November 2020 yang lalu.
Seminar Art Market: Membangun Pasar Digital Seni Rupa disampaikan oleh Najzil Layin iaitu usahawan digital yang berjaya di Indonesia juga merupakan artis seni visual dengan pengkhususan senireka grafik. Perkongsian ini telah membuka dan mengubah persepsi mahasiswa khususnya peserta Fakulti Pendidikan UiTM dalam mengintai peluang perniagaan semasa dalam pengajian dan usaha yang mereka perlu lakukan dalam menceburi bidang Digital Art Market. Seminar ini telah menarik minat lebih daripada 130 peserta yang terdiri daripada mahasiswa pelbagai universiti di Indonesia dan Malaysia.