Hari Aduan Fakulti 2020

19 November 2020- Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menganjurkan satu program iaitu Hari Aduan Fakulti 2020 yang saban tahun diadakan. Program ini telah disertai oleh 110 mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan bersama sepuluh orang ahli jawatankuasa pelaksana daripada ahli Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan.

Program ini diadakan adalah bertujuan untuk menyediakan medium kepada mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan menyuarakan sebarang aduan dan kekurangan yang dihadapi sepanjang perlaksanaan Open and Distance Learning (ODL) secara maya.

Terdapat 2 sesi yang telah dijalankan pada hari tersebut di mana sesi pertama dijalankan dari jam 2.30 hingga 3.45 petang. Sesi pertama ialah pembacaan aduan dari pelajar beserta penyelesaian yang telah diberikan oleh pihak- pihak tertentu seperti pihak pusat pengajian, pihak unit IT Fakulti Sains Kesihatan dan pihak pengurusan Hal Ehwal Pelajar (HEP). Aduan-aduan ini telah dikumpul 3 minggu sebelum program berlangsung menerusi Google Form aduan yang telah disediakan oleh Exco Aduan, Keselamatan dan Perundangan Sekretariat Mahasiswa Fakulti.

Selepas itu, diikuti dengan sesi 2 iaitu dari jam 3.45 hingga 4.20 petang. Sesi 2 adalah medium yang disediakan bagi pelajar mengajukan aduan secara langsung kepada Presiden Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Puncak Alam. Di samping itu, soalan yang tidak dapat diberikan jawapan secara terus kepada pelajar, akan dimaklumkan menerusi sosial media selepas berbincang dengan lebih terperinci bersama pihak yang bertanggungjawab.

Selain itu, diharapkan menerusi program ini, dapat membantu mahasiswa fakulti sains kesihatan untuk mengatasi sebarang kesulitan dan menambahbaik segala kekurangan yang dihadapi sepanjang Open and Distance Learning (ODL) dan memastikan para pelajar tahu bahawa sebarang permasalahan yang dihadapi oleh mereka akan didengari oleh pihak pengurusan.

Justeru, program-program seperti ini ternyata perlu diadakan secara berkala untuk memastikan segala masalah yang dihadapi oleh pelajar dapat disuarakan dan penyelesaian yang terbaik mampu diberikan. Semoga program ini membantu mahasiswa menjalani Open and Distance Learning (ODL) dengan sebaiknya dan memacu kejayaan yang lebih cemerlang.