Keunikan Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia UiTM

Program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia (BA243) merupakan salah satu program yang ditawarkan oleh Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM. Program ini ditawarkan bagi tujuan melahirkan graduan yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran khusus dalam menguruskan modal insan dan melahirkan profesional sumber manusia yang berkebolehan. Menariknya program BA243 ini adalah, terdapat dua program wajib yang perlu dihadiri oleh pelajar baru dan pelajar semester akhir yang mana penglibatan di dalam program-program ini memperuntukkan sejumlah markah kepada pelajar.

Program induksi pelajar baharu iaitu ‘Participants Development Program’ (PDP) merupakan program satu hari yang dianjurkan oleh Human Resource Society (HURES). Program ini melibatkan para pelajar baharu terdiri daripada pelajar Semester 1 dan Semester 2 yang melanjutkan pelajaran ke program BA243 di UiTM.

Tiga konsep utama diterapkan di dalam program ini iaitu Taaruf (Pengenalan), Tafaahum (Pemahaman), dan Takaful (Membantu). Antara aktiviti yang biasa dilaksanakan yang merangkumi konsep Taaruf (Pengenalan) adalah aktiviti ‘Ice Breaking’ dan sesi pengenalan bersama penasihat akademik kepada pelajar-pelajar baru ini. Uniknya program PDP ini adalah terdapat aktiviti menulis wasiat “Letter to Me” dan sesi perkongsian bersama alumni BA243 yang menerapkan konsep Tafaahum (Pemahaman). Wasiat “Letter to me” ini ditulis oleh pelajar baharu dan perlu diserahkan kepada penganjur dan kemudian disimpan rapi oleh penasihat akademik. Wasiat “Letter to Me” ini akan diserahkan semula kepada pelajar ketika Program Hasta La Vista di semester akhir untuk dibaca dan membuat refleksi diri. Konsep Takaful (Membantu) pula adalah konsep yang memfokuskan para pelajar untuk bekerjasama dan membantu sesama ahli kumpulan dalam menyelesaikan sesuatu tugasan yang melibatkan aktiviti fizikal. Pelbagai aktiviti berkumpulan diadakan bagi mengeratkan silaturahim di antara pelajar baru, ahli jawatankuasa HURES dan juga penasihat akademik.

Bagi pelajar Semester 6 pula, mereka akan menghadiri program Hasta La Vista yang menjadi program penutup buat pelajar-pelajar semester akhir. Hasta La Vista adalah daripada perkataan Sepanyol yang memberi maksud “selamat tinggal” atau “jumpa lagi”. Program Hasta La Vista dibangunkan khas untuk pelajar pengurusan sumber manusia yang mana terdapat beberapa modul yang dimuatkan di dalam program. Ini termasuk sesi ceramah oleh pengamal sumber manusia dari industri luar, sesi bersama penasihat akademik, penyerahan semula “Letter to Me” untuk refleksi diri, aktiviti sukaneka dan majlis makan malam.

Keterlibatan pelajar di dalam kedua-dua program ini adalah sangat penting dan wajib kerana 10 peratus diperuntukkan dari markah keseluruhan bagi kursus latihan industri iaitu HRM666. Ini menjadikan program BA243 unik kerana kebiasaannya program induksi dan majlis perpisahan pelajar adalah tidak wajib dan tiada markah diperuntukkan di dalam pelan pengajian pelajar.

Bagi program BA243 di UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya, program PDP kali ini telah diadakan pada 24 Jun 2023. Seramai 93 orang pelajar baharu telah hadir dan terlibat di dalam aktiviti yang telah dirancang. Bagi sesi perkongsian bersama alumni BA243 UiTM Melaka, Encik Muhammad Mu’adz bin Kamsani yang kini sedang bekerja sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Bahagian Unit Integriti, Kerajaan Negeri Selangor telah dijemput untuk menyampaikan ceramah dan berkongsi pengalaman tentang permulaan karier beliau di dalam perkhidmatan awam. Perkongsian ini diharapkan dapat memberi semangat dan dorongan kepada pelajar-pelajar baharu untuk berusaha bersungguh-sungguh di dalam akademik yang dapat menjadi tiket kepada peluang kerjaya lebih baik di masa akan datang.

Bagi program Hasta La Vista pula, kali ini AnCasa Residences, Port Dickson telah menjadi lokasi pilihan pelajar-pelajar semester akhir untuk berkumpul beramai-ramai sebelum mereka membawa haluan dengan kerjaya masing-masing. Dengan tema “The New Path Unlocked”, program dua hari satu malam bermula pada 10 Jun 2023 itu telah memuatkan pelbagai aktiviti termasuk ceramah yang disampaikan oleh wakil industri dan alumni, aktiviti latihan dalam kumpulan dan majlis makan malam yang turut dihadiri oleh Ketua Pusat Pengajian, Koordinator Fakulti dan Penyelaras Program BA243.

Melalui penganjuran kedua-dua program ini, ia bukan sahaja dapat memberi peluang kepada pelajar baharu dan pelajar lama terlibat secara langsung di dalam aktiviti fakulti, tetapi juga dapat memperkukuhkan hubungan fakulti bersama wakil industri dan alumni dalam mencapai “performance indicator” (PI) fakulti yang telah digariskan.

Galeri Gambar: