Ketua Polis Bantuan UiTM Adakan Lawatan Kerja Rasmi Ke UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau

TAWAU, 15 SEPTEMBER 2023 – Buat julung kalinya, Ketua Polis Bantuan UiTM, YDH DSP/PB Zakaria Ishak bersama Timbalan Pegawai Keselamatan, YDH ASP/PB Zaidi Razali telah melakukan lawatan kerja rasmi ke UiTM Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau. Program lawatan adalah bertujuan bagi menyampaikan maklumat dan hala tuju Ibu Pejabat Polis Bantuan UiTM yang telah disambut oleh semua anggota Polis Bantuan UiTMCSH Kampus Tawau bersama pihak pengurusan kampus.

Pertamanya, Ketua Polis Bantuan UiTM telah mengadakan perjumpaan secara bersemuka bersama Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, bagi sesi suai kenal serta membincangkan isu-isu berkaitan Unit Polis Bantuan, UiTMCSH Kampus Tawau. Seterusnya, Ketua Polis Bantuan UiTM bersama Timbalan Pegawai Keselamatan turut berjumpa semua anggota Unit Polis Bantuan, UiTMCSH Kampus Tawau dan mendengar taklimat pengenalan unit secara ringkas, yang disampaikan oleh Ketua Anggota, KPL/PB Latif Ibrahim.

Dalam pada itu, Ketua Polis Bantuan UiTM telah berkongsi dasar dan hala tuju selaras dengan agenda utama Polis Bantuan UiTM serta mengingatkan agar semua anggota Polis Bantuan, UiTMCSH Kampus Tawau sentiasa peka dalam menjalankan tugas dan menerapkan nilai-nilai ESI iDART UiTM. Sebagai simbolik, sesi bergambar beramai-ramai dan penyampaian cenderamata tanda penghargaan telah disampaikan oleh Ketua Polis Bantuan UiTM, YDH DSP/PB Zakaria Ishak kepada Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling.