JAKARTA, 19 September 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Fakultas Ilmu Pendidikan Universitas Negeri Jakarta (FIP UNJ) telah menjalin kerjasama erat dalam program lawatan penanda aras dan International Volunteerism yang digerakkan sepenuhnya oleh gabungan mahasiswa UNJ serta UiTM. Program yang dirangka selama 4 hari bermula 18 September lalu melibatkan 26 mahasiswa dari 6 fakulti/kolej UiTM seluruh Malaysia, 100 mahasiswa FIP UNJ serta barisan pengurusan dan pensyarah dari kedua universiti. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua universiti untuk memperluas jaringan antarabangsa dan memberikan pengalaman berharga kepada mahasiswa dalam bidang kepemimpinan dan kerja sosial.
Pengisian hari kedua lawatan bertempat di Gedung Ki Hajar Dewantara, Aras 9, UNJ. Majlis dimulakan dengan pembacaan doa serta nyanyian lagu kebangsaan dari Indonesia dan Malaysia, serta lagu rasmi kedua-dua institusi. Prof. Madya ChM. Dr. YM Raja Razuan Raja Deris, Timbalan Dekan HEP Fakulti Sains Gunaan, mewakili UiTM untuk ucapan pembukaan. Beliau menekankan bahawa penganjuran program seperti Leadership Talk ini bertindak sebagai platform bagi memupuk sifat kepemimpinan di kalangan mahasiswa.
Dr. Abdul Sukur, Wakil Rektor UNJ Bidang Kemahasiswaan dan Alumni, yang juga turut hadir, menyatakan keterujaan UNJ menerima kunjungan dari UiTM Malaysia dan merencanakan kunjungan balasan sebagai tindak lanjut kerjasama. Dr. Abdul Sukur juga berkongsi bahawa UNJ telah membentuk satu organisasi khusus yang dinamakan UNJ Peduli, melibatkan pensyarah, mahasiswa, dan alumni dalam program-program kemanusiaan dan sosial.
Slot diteruskan dengan penyampaian oleh keynote speaker yang juga merupakan Dekan FIP UNJ, Prof. Fahrurrozi. Beliau menjelaskan kepentingan mempersiapkan mahasiswa untuk menghadapi perubahan dalam era yang penuh ketidakpastian, dengan menekankan empat kompetensi utama: kemampuan menyelesaikan masalah, kreativiti, keterampilan berkomunikasi, dan kemampuan berkolaborasi.
Acara dilanjutkan dengan talkshow Leadership bertajuk “Interconnection among VUCA, Student Organization and Leadership,” yang menampilkan saudari Soraya Nuron Jamil, mahasiswa FIP UNJ sebagai moderator. Barisan panel terdiri daripada Amirul Aiman Abd Razak (Presiden Sekretariat Mahasiswa Fakulti Pendidikan 22/23), Muhammad Ar Raffi (Ketua BEM FIP UNJ), Muhammad Ammar Khashah (mahasiswa UiTM) dan juga Sisca Amelia (Ketua BPM FIP UNJ). Sesi yang berlangsung selama sejam ini padat dengan perkongsian oleh keempat-empat mahasiswa yang membincangkan impak VUCA dalam perkembangan akademik, pembangunan sahsiah diri serta badan organisasi pelajar. Slot talkshow ini diakhiri dengan sesi Q&A dan pemberian sijil kepada barisan panel.
Program hari kedua ini dimeriahkan lagi dengan slot Cultural Exchange dimana mahasiswa UiTM dan UNJ menyampaikan persembahan tarian, nyanyian dan juga sketsa yang melambangkan budaya dan keunikan negara masing-masing.