UiTM dan UNJ Kukuh Jalinan Kerjasama menerusi Implementation Agreement

JAKARTA, 21 September 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Pendidikan telah menandatangani Implementation Agreement (IA) bersama Universitas Negeri Jakarta (UNJ) dalam majlis yang berlangsung di Bilik Eksekutif Bangunan Rektorat UNJ. Majlis dihadiri oleh Prof. Fahrurrozi, Dekan Fakulti Pendidikan (FIP) UNJ, Prof. Totok Bintoro, Wakil Rektor Bidang Perencanaan dan Kerjasama di UNJ, Prof. Johansyah Lubis, Dekan Fakulti Sains Sukan (FIK) UNJ, dan Prof. Sarkadi, Dekan Fakulti Sains Sosial (FIS) UNJ. Pihak UiTM pula diketuai oleh Prof. Madya Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan. Turut hadir adalah Prof. Dr. Hajah Farida Zuraina Mohd Yusof, Dekan Fakulti Sains Gunaan, serta wakil-wakil dari Kolej Alam Bina, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi serta Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS).

Implementation Agreement tersebut telah ditandatangani oleh Prof. Fahrurrozi, Dekan Fakulti Pendidikan (FIP) UNJ dan Prof. Madya Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan UiTM serta disaksikan oleh Prof. Dr. Hjh. Farida Zuraina, Dekan Fakulti Sains Gunaan UiTM dan Prof. Totok Bintoro, Wakil Rektor Bidang Perencanaan dan Kerjasama UNJ. Implementation Agreement ini merupakan sebahagian daripada intipati International Volunteering Programme yang dikelolai oleh gabungan organisasi pelajar Fakulti Pendidikan (FIP) di UNJ dan Fakulti Pendidikan UiTM.

Majlis dimulakan dengan ucapan ringkas serta pengenalan kepada UNJ oleh Prof. Totok Bintoro. Beliau menekankan kepentingan menjalin kerjasama antara negara jiran dan menjelaskan kerjasama dengan UiTM adalah bertujuan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan standard akademik. Usaha ini termasuk meningkatkan kualiti ahli akademik dari segi pengajaran, penyelidikan, dan perkhidmatan kepada masyarakat. Prof. Totok turut menyebut bahawa UNJ terbuka kepada kemungkinan kerjasama dalam program pertukaran pensyarah antara kedua-dua institusi.

“Pada hari ini, selepas menandatangani Implementation Agreement antara UiTM dan beberapa fakulti di UNJ, termasuk Fakulti Pendidikan (FIP), Fakulti Sains Sukan (FIK), Fakulti Sains Sosial (FIS), dan Fakulti Matematik dan Sains Semulajadi (FMIPA), kami berharap untuk menjalankan pelbagai kegiatan kerjasama di masa hadapan. Ini termasuk penyelidikan bersama, penglibatan komuniti, dan penganjuran persidangan bersama,” ujarnya lagi.

Dekan Fakulti Pendidikan UiTM, Prof. Madya Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris dalam ucapannya pula menekankan bahawa UiTM turut berkongsi visi yang sama dengan UNJ untuk mendidik dan memperkayakan kehidupan negara masing-masing. Beliau melahirkan rasa syukur atas layanan mesra dari pihak UNJ dan berharap usaha yang dizahirkan sepanjang 4 hari di UNJ dapat membantu melahirkan mahasiswa berkepimpinan dan membentuk generasi masa hadapan yang cemerlang.

“Saya berharap kerjasama ini tidak berakhir di sini; mudah-mudahan kita dapat mempergiatkan aktiviti, bukan hanya dengan Fakulti Pendidikan tetapi juga dengan fakulti lain. Semoga kerjasama ini menjadi landasan kukuh untuk pembangunan pendidikan dan pengetahuan. Bersama-sama, kita boleh menjayakannya,” tambahnya lagi.

Majlis diteruskan dengan acara menandatangani Implementation Agreement di antara kedua institusi, dan diakhiri dengan pertukaran cenderamata serta sesi fotografi.