Kesihatan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan setiap individu tanpa mengira peringkat umur. Bagi para pelajar yang sedang menjalani kehidupan di alam universiti, cuti hujung tahun beserta musim perayaan dan penghujung semester telah pun tiba. Kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan amatlah penting bagi memastikan pelajar kekal sihat, bertenaga dan mampu mengurus diri sendiri.
Kesihatan menjadi fokus utama bukan sahaja kerana persekitaran yang terdedah kepada pelbagai faktor risiko, tetapi juga ketika ini di mana wabak penyakit Covid-19 masih menjadi cabaran utama dalam masyarakat. Oleh itu, peringatan, nasihat serta langkah-langkah pencegahan perlu diberi penekanan khusus, terutamanya kepada golongan pelajar.
Salah satu langkah praktikal yang boleh diambil ialah dengan menggalakkan penggunaan pelitup muka. Pelitup muka dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit termasuklah Covid-19. Penggunaan pelitup muka yang betul dan konsisten dapat menghalang penularan virus dan bakteria, terutamanya dalam situasi di mana interaksi sosial berlebihan berlaku seperti semasa musim perayaan.
Penggunaan pelitup muka bukan sahaja memberi perlindungan kepada individu yang menggunakannya, tetapi juga bertindak sebagai langkah proaktif dalam menyumbang kepada keselamatan komuniti secara keseluruhannya. Ini adalah penting terutamanya apabila pelajar kembali ke kampung halaman semasa musim perayaan, di mana risiko penularan dan penyebaran penyakit dapat meningkat dengan cepat.
Selain daripada penggunaan pelitup muka, kesedaran terhadap amalan kesihatan yang lain juga perlu ditingkatkan. Kebersihan diri, penggunaan sanitizer, serta amalan penjarakan sosial adalah antara perkara yang boleh membantu dalam memastikan pelajar terhindar dari risiko jangkitan penyakit yang mungkin berleluasa, terutama ketika berada di persekitaran yang ramai seperti semasa musim perayaan.
Menjaga kesihatan bukanlah sekadar tanggungjawab peribadi semata-mata tetapi juga merupakan tanggungjawab kolektif. Tahap kesihatan yang baik memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran di universiti. Hal ini membolehkan para pelajar terus fokus dalam menyelesaikan pengajian dengan cemerlang tanpa diganggu oleh masalah kesihatan.
Di penghujung semester, penjagaan kesihatan menjadi lebih penting kerana waktu inilah para pelajar agak sibuk dengan pelbagai komitmen akademik. Keletihan dan tekanan, serta kurang tidur dan rehat boleh melemahkan sistem imun didalam badan dan menjadikan para pelajar lebih rentan kepada penyakit. Oleh itu, dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti menjaga pemakanan yang seimbang, tidur dan rehat yang mencukupi, serta melakukan aktiviti senaman ringan boleh membantu meningkatkan kekuatan tubuh dan mengurangkan risiko jangkitan.
Pentingnya kesedaran akan kepentingan menjaga kesihatan di kalangan pelajar tidak boleh diabaikan, terutamanya pada masa yang kritikal seperti musim perayaan dan penghujung semester. Sebagai warga akademik, kita perlu terus menggalakkan pelajar untuk mengambil berat akan kesihatan mereka sebagai asas untuk mencapai kejayaan akademik dan kehidupan yang seimbang. Kesihatan adalah aset berharga yang perlu dijaga dengan penuh keperihatinan demi masa depan yang lebih baik.