Majlis Tertinggi Persatuan Pelajar Sains Ukur dan Geomatik (GEOMASS) UiTM Shah Alam telah mengadakan program Alumni Coffee Talk: Kenali Dunia Hydro pada 9 Januari 2021. Program ini bertujuan bagi memberikan pendedahan khususnya kepada pelajar Sains Ukur dan Geomatik FSPU UiTM berkenaan tatacara serta perjalanan untuk menjadi seorang Hydrographer serta isu- isu yang berbangkit dalam kerja ukur Hidrografi.
Program secara atas talian ini bermula pada jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi dengan menggunakan platform WEBEX, telah dikendalikan oleh Presiden Majlis Tertinggi GEOMASS, Saudara Muhammad Nor Aiman Mansor. Seramai 114 orang pelajar, 2 orang panel iaitu Sr. Razali Ahmad dan Encik Noor Safaruddin B. Kamaruddin dan beberapa orang pensyarah hadir dalam program tersebut.
Majlis dimulakan oleh saudara Muhammad Haqim Zulkifli selaku pengerusi majlis, diikuti oleh bacaan doa yang dipimpin oleh saudara Muhammad Nor Aiman, ucapan ringkas oleh Pengarah Program saudara Muhammad Akmal Khairuddin Abu Hassan dan ucapan kata alu-aluan oleh Penasihat GEOMASS, Sr Dr Saiful Aman Bin Hj Sulaiman. Sesi perkongsian dimulakan dengan pengalaman para panel pertama kali berkecimpung dalam kerjaya ukur Hidrografi. Selain itu, para panel turut berkongsi pengalaman suka dan duka sepanjang tempoh mereka bekerja di dalam bidang ini. Sesi diteruskan lagi dengan perkongsian berkenaan variasi kerja ukur Hidrografi yang dijalankan di Malaysia sama ada oleh beberapa syarikat tempatan termasuklah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terkenal seperti Petronas.
Para panel juga turut berkongsi berkenaan jenis- jenis perisian terkini yang kerap digunakan dalam bidang ukur Hidrografi. Selain itu, antara nilai tambah yang menarik perhatian penonton yang turut dikongsikan oleh para panel ialah tatacara ataupun persediaan yang perlu dibuat oleh para pelajar sebelum memulakan kerjaya sebagai Hydrographer. Ciri- ciri keselamatan, prosedur operasi standard dan polisi yang penting semasa berada di tempat kerja khususnya di pelantar minyak dan kapal turut dikongsikan oleh para panel. Program diakhiri dengan sesi soal- jawab di antara para pelajar dan panel.