Soal Jawab Kuliah 2B Secara Dalam Talian Untuk Merungkai Permasalahan Pelajar

Sesi soal jawab langsung secara maya di antara pelajar Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik (PPSUG) FSPU bersama Ketua PPSUG nya, Sr Gs Dr. Khairul Nizam Tahar telah diadakan pada 25 Disember 2020 bagi menjawab persoalan-persoalan berkenaan Kuliah 2B serta proses pulang ke kampus bagi menjalankan pembelajaran secara face to face.

Sesi soal jawab dalam talian ini bermula pada jam 2.30 petang menerusi medium webex, dan dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Tertinggi GEOMASS UiTM Shah Alam dimana saudara Muhammad Nor Aiman Mansor sebagai host program ini. Seramai 148 orang pelajar dari semester 1, 2, 3, 4, 6 dan 8 telah menyertai sesi soal jawab ini bersama 6 orang pensyarah yang turut serta iaitu terdiri daripada Sr Gs Dr. Khairul Nizam Tahar, Prof Madya. Sr Dr. Azman Mohd Suldi, Dr. Nabilah Naharudin, Sr Dr Saiful Aman Hj Sulaiman, Sr Ahmad Norhisyam Idris dan Sr Noraain binti Mohd Saraf.

Sesi dimulakan dengan penerangan mengenai jadual waktu untuk kuliah 2B serta tarikh kepulangan pelajar ke kampus bagi pelajar semester 1 dan 2, pelajar semester 3 dan 4, serta pelajar semester 6 dan 8. Seterusnya Ketua Pusat Pengajian (KPP) menerangkan ‘Standard Operating Procedure’ sebelum, semasa dan selepas pulang ke kampus bagi pelajar dari negeri zon hijau, kuning dan merah. KPP juga menjelaskan mengenai pendaftaran masuk ke kolej serta kolej yang disediakan bagi pelajar-pelajar yang perlu menjalani proses kuarantin di Shah Alam sebelum dibenarkan masuk ke kampus.

Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab yang diajukan oleh para pelajar di dalam borang soal selidik yang telah diberikan, serta soalan-soalan yang diajukan di dalam ruangan chat. Sebanyak 61 soalan telah diajukan oleh para pelajar dan sesi soal jawab ini berakhir pada jam 4.00 petang.