Kejohanan Tenpin Boling Merdeka Pewani UiTM Cawangan Negeri Sembilan 2022

Sejumlah 16 pasukan yang terdiri daripada 64 orang staf wanita UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah bersaing dalam Kejohanan Tenpin Boling Merdeka PEWANI UiTMCNS 2022 yang telah diadakan pada 30 Ogos 2022 yang lalu bertempat di Ole-ole Super Bowl, Mydin Seremban 2. Kejohanan ini diadakan bertujuan untuk merapatkan ukhuwah di antara ahli-ahli PEWANI UiTMCNS serta staf-staf wanita UiTMCNS, selain menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-65 tahun pada tahun ini. Kejohanan bermula tepat jam 10.00 pagi, dengan simbolik pembukaan disempurnakan oleh Puan Jamilah Othman selaku Timbalan Pengerusi PEWANI UiTMCNS yang telah melakukan lontaran awal.

Setiap pasukan perlu menyempurnakan 3 set permainan, dan pemenang ditentukan berdasarkan kepada jumlah jatuhan pin yang dikumpul oleh setiap pasukan. Johan bagi kategori berkumpulan telah dimenangi oleh kumpulan Boting Angels dengan jatuhan pin sebanyak 1408, diikuti oleh kumpulan Bendahari dengan jatuhan pin sebanyak 1224 dan kumpulan Pemanis dengan jatuhan pin 1184. Sementara itu, Dr. Ropisah Me daripada kampus Kuala Pilah, telah memenangi hadiah kategori individu dengan mencatatkan jatuhan pin tertinggi sebanyak 375 mengatasi 63 orang pemain yang lain.

Selain itu, turut dipertandingkan adalah acara Pakaian Sedondon Tercantik, di mana setiap pasukan digalakkan untuk memakai baju bertemakan warna-warna yang terdapat pada Jalur Gemilang. Acara ini telah dimenangi oleh kumpulan Pin Princess, yang merupakan staf-staf daripada Bahagian Pentadbiran Kampus Kuala Pilah.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang telah pun disempurnakan oleh Pengerusi PEWANI UiTMCNS iaitu Puan Rozzana Rahmat, Puan Jamilah Othman (Timbalan Pengerusi PEWANI UiTMCNS) dan Puan Siti Hajar Md Jani (Naib Pengerusi II PEWANI UiTMCNS). Dalam ucapan perasmian penutup, Pn. Rozzana turut mengajak para peserta yang masih belum menjadi ahli untuk mendaftarkan diri sebagai ahli PEWANI supaya persatuan ini dapat bergerak aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada semua ahli terutamanya di peringkat UiTMCNS. Majlis penutup ini turut diserikan dengan acara penyampaian cabutan bertuah kepada peserta- peserta yang bertuah pada hari tersebut, serta laungan Merdeka! sebanyak 3 kali oleh semua yang hadir.