KEJOHANAN BOLA TAMPAR RAUB FALCON PERINGKAT DAERAH RAUB

RAUB, 12 Jun 2023 – Sukan seharusnya mendapat pengiktirafan, sokongan dan galakan yang sama sebagaimana juga diberikan kepada keperluan asas yang lain seperti akademik dan kegiatan kokurikulum supaya dapat melahirkan individu yang seimbang dari segi kesejahteraan minda dan jasmani. Kelab Bola Tampar Falcon UiTM Raub sekali lagi telah berjaya menganjurkan Kejohanan Bola Tampar Terbuka(Lelaki) di Kompleks Rakan Muda Dong pada 10 Jun 2023. Kejohanan bola tampar ini menyumbang kepada penggalakkan pertandingan yang sihat, semangat muhibah, kesefahaman, toleransi dan meningkatkan nilai moral dan fizikal yang memberikan satu landasan yang betul dalam mengintegrasikan pelbagai kumpulan etnik kepada satu bangsa yang bersatu padu serta memupuk semangat cinta akan negara.

Kejohanan tersebut telah mendapat sambutan penyertaan dari 8 pasukan yang terdiri daripada pelajar-pelajar UiTM Raub ( Boleh Ker Tuu & Falcon), pelajar UiTM Jengka (Phantom), pelajar Alumni UiTM Raub ( Collect VC), pelajar Kolej Vokasional (KAVOC), Institut Perguruan Lipis ( AVC) dan juga pasukan-pasukan yang terdiri daripada komuniti di daerah Raub (RVC) dan juga Kuantan ( VITAL).

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 3 (SDG 3): Kesihatan dan Kesejahteraan Baik, kejohanan ini telah berjaya mencapai objektifnya dimana ianya berjaya mewujudkan kaitan kolaborasi dan hubungan yang baik bersama pihak Universiti ,komuniti setempat dan juga institusi-institusi pendidikan yang berada di sekitar kampus UiTM Raub . Selain itu, penganjuran program tersebut untuk melahirkan generasi belia yang bergiat aktif dalam aktiviti sukan, selain menggalakkan gaya hidup sihat pasca Covid-19.

Disamping itu juga kejohanan seperti ini dapat menarik perhatian pelajar UITM Raub yang lain untuk sama-sama menyertai Kelab Bola Tampar Falcon UiTM Raub yang aktif membuat aktiviti bersama orang luar dan seterusnya mengharumkan nama baik UITM Raub terhadap komuniti setempat.

Perlawanan akhir telah menemukan pasukan Phantom dan juga pasukan RVC yang berkesudahan dengan pasukan Phantom menjadi johan bagi kejohanan ini. Tempat ketiga disandang oleh pasukan Vital.

Ucapan penghargaan terima kasih diucapkan kepada Pengerusi Majlis Belia Daerah Raub, Encik Mohd Zakri bin Hamzah dan Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Daerah Raub En Imran bin Isnin atas kesudian hadir bersama untuk sesi penyampaian hadiah kepada semua pemenang.