Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) UiTM Shah Alam, melalui Pusat Pengajian Sains Matematik telah berjaya mengadakan enam siri ‘Malaysia-Uzbekistan STEM Webinar Series’ . Siri webinar yang telah dianjurkan bersama Agency for Presidential Education Institutions Uzbekistan serta Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) telah tamat pada 23 Februari 2023. Majlis penutup program ini disempurnakan dengan ucapan penutup oleh Prof Ts Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor, KPPIM UiTM, dan diikuti ucapan ringkas oleh wakil Presidential Education Institutions Uzbekistan, En. Mannanov Nazirulla, yang merupakan Ketua Jabatan Kerjasama Antarabangsa agensi terbabit.
Penganjuran program Malaysia-Uzbekistan STEM Webinar Series ini merupakan usaha murni pihak kedutaan Uzbekistan di Malaysia yang mencadangkan satu aktiviti perkongsian ilmu dari pihak KPPIM UiTM berhubung dengan Pengajaran dan Pembelajaran STEM (Science Technology Engineering Mathematics) di Malaysia. Ianya bertujuan untuk memberikan pendedahan global kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di Uzbekistan akan amalan terbaik pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran STEM di Malaysia yang mungkin boleh diterapkan atau diadaptasi. Mengambil kira hasrat tersebut, Pusat Pengajian Sains Matematik, KPPIM menyahut cabaran dengan mengatur dan menyusun slot-slot webinar yang menarik merangkumi setiap aspek Pendidikan STEM.
Siri webinar ini telah berjalan selama 6 minggu bermula dari 13 Januari 2023 sehingga 23 Februari 2023. Bagi memastikan penembusan pengetahuan yang luas, webinar-webinar ini telah dijalankan secara atas talian menerusi Webex serta dipancarkan secara langsung melalui YouTube rasmi Pusat Pengajian Sains Matematik, KPPIM. Selama program webinar ini berlangsung, ianya telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan bukan sahaja dari kalangan pelajar-pelajar di Uzbekistan, malah turut disertai oleh pelajar-pelajar sekolah, para pendidik serta orang awam di Malaysia. Program ini merekodkan sebanyak lebih 100 peserta setiap minggu, dan hampir 4 ribu tontonan terkumpul di saluran YouTube rasmi.
Pendidikan STEM yang berkualiti tinggi adalah prasyarat global dalam mendepani cabaran revolusi Industri 4.0 yang menuntut sistem pendidikan untuk melahirkan generasi kreatif, inovatif, dan berdaya saing. Ini dapat dicapai dengan memanfaatkan teknologi sebagai sarana utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Oleh yang demikian,
Malaysia-Uzbekistan STEM Webinar Series ini telah mengetengahkan topik-topik yang menekankan pemerkasaan PdP berasaskan Sains dan Teknologi menerusi subjek Matematik, Fizik, Biologi, dan Sains Komputer.
Malaysia-Uzbekistan STEM Webinar Series membuka tirai dengan sesi webinar bertajuk ‘STEM in Malaysian Education’ yang disampaikan oleh Prof Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan UiTM. Ceramah beliau merangkumi tujuan, matlamat dan keperluan menyepadukan STEM dalam sistem Pendidikan Malaysia. Sebahagian aktiviti yang telah dijalankan oleh Fakulti Pendidikan dalam pemerkasaan STEM dikalangan pelajar sekolah dan universiti turut dikongsikan bersama. Penekanan juga diberikan terhadap pelaksanaan pendidikan STEM dalam kalangan pelajar dan juga bakal pendidik sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Pihak penganjur juga telah menjemput dua orang guru dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), iaitu En Mohamad Syafiq Mohamad Sulaiman, guru fizik MRSM Kuala Klawang dan Pn Noorzakiah Buang guru biologi dari MRSM Tun Ghafar Baba. Sesi ceramah mereka bertumpu kepada pelaksanaan pengajaran interaktif di dalam subjek sains. Encik Mohamad Syafiq dan Puan Noorzakiah menekankan bahawa penggunaan alat bantu teknologi secara efektif serta penerapan elemen multimedia boleh mendedahkan pelajar kepada persekitaran pembelajaran yang menarik sekaligus menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar. Kaedah ini turut dibincangkan secara lebih meluas oleh penceramah keempat, En Mohd Razif Shamsuddin, pensyarah Sains Komputer KPPIM UiTM. Beliau melihat kepada aspek kecerdasan buatan (artificial intelligence) sebagai teknologi mengganggu (disruptive technology). Meskipun kecerdasan buatan memberi kesan kepada pelaksana serta aturcara kerja lazim, namun, impaknya adalah lebih ke arah menambah baik keupayaan manusia.
Bagi subjek Matematik, pihak webinar amat bertuah dapat menjemput 3 orang penceramah iaitu Pn. Maisarah Abdul Manas, guru Kolej Tunku Kurshiah, En. Nurul Akmal Md Nasir, pensyarah Fakulti Pendidikan UiTM serta Dr. Roselah Osman, pensyarah KPPIM. Bertajuk “Unleashing the Power of Mathematics in STEM Education”, ceramah mereka meliputi kaedah penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), penggunaan permainan interaktif di peringkat sekolah serta pameran hasil kerja pelajar dan pensyarah universiti. Sesi terakhir webinar telah disampaikan oleh wakil PERSAMA, Prof Madya Dr Azmin Sham Rambely, pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bertajuk ‘Having fun with PRISMatik. Are you?’. Beliau memperkenalkan aktiviti dan modul yang tersedia dibawah kumpulan Prismatik UKM dalam mewujudkan suatu ekosistem pembudayaan STEM yang mampan. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk SifirA, Origami, Jom Kripto, Fraktal dan banyak lagi.
Secara tuntas, perkongsian ilmu dan pengalaman sepanjang webinar diharap dapat membantu meningkatkan minat para pelajar, khususnya di Uzbekistan terhadap mata pelajaran STEM yang dianggap mencabar. Disamping itu ia juga dapat mengukuhkan hubungan kerjasama di antara Universiti Teknologi M ARA dengan institusi Pendidikan di Uzbekistan. Melalui webinar ini, KPPIM UiTM telah dapat mencapai agenda ke 17 dalam Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG) yang bertumpu kepada menguatkan jalinan hubungan kerjasama dan kolaborasi dengan pihak organisasi luar dalam mengembangkan matlamat kelestarian SDG. Adalah menjadi inspirasi KPPIM untuk meneruskan lagi webinar seumpamanya kerana terbukti wacana ilmu adalah inisiatif pemerkasaan masyarakat yang berkesan.