UiTM Cawangan Pahang Sebagai Tuan Rumah Karnival Sukan Staf UiTM Semalaysia 2023

Maran – Pemilihan UiTM Cawangan Pahang sebagai tuan rumah Karnival Sukan Staf (KARiSTA) UiTM 2023 yang berlangsung di UiTM Cawangan Pahang disifatkan satu penghormatan bagi YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan, Rektor UiTM CPh.

Seramai 2,800 orang yang terdiri daripada atlet, pegawai sukan, pengurusan dari 14 Cawangan UiTM Di seluruh Malaysia di samping sukarelawan dari UiTM Cawangan Pahang telah mula berkampung selama 7 hari kejohanan berlangsung iaitu bermula pada 3 Mac 2023 sehingga 9 Mac 2023 bagi memeriahkan karnival sukan ini.

Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham berkata “Ianya merupakan satu penghormatan kepada UiTM Cawangan Pahang apabila dilantik menjadi tuan rumah bagi KARiSTA pada tahun 2023 ini.Justeru itu, saya berharap karnival sukan ini akan dapat memberi impak yang positif bagi mewujudkan budaya kesukanan dikalangan staf.”

”Selama 7 hari yang bermula pada 3 Mac hingga 9 Mac 2023 akan memberikan kemeriahan dengan adanya kehadiran para-para atlet dari 14 UiTM Cawangan seluruh Malaysia yang bakal berentap bagi menggondol kejuaraan karnival ini” katanya pada majlis perasmian KARiSTA 2023 .

Sementara itu, YBrs. Pendaftar UiTM, Tuan Haji Muhamad Nizam bin Noordin menyifatkan bahawa karnival sukan ini merupakan platform terbaik untuk menjadikan aktiviti sukan sebagai amalan dan budaya ke arah gaya hidup sihat selain mengeratkan lagi silaturrahim antara warga UiTM Seluruh Malaysia.

Tambah beliau, sebanyak 17 acara sukan yang dipertandingkan pada karnival kali ini termasuklah badminton, berbasikal MTB, bola jaring, bola sepak, bola tampar, karom, dart, catur, tenis, golf, ping pong, petanque, sepak takraw, tenpin boling, larian lasak khazanah alam, memanah dan ragbi sentuh.

”Alhamdulillah, pada tahun ini saya difahamkan sebanyak 17 acara sukan akan dipertandingkan. Melihat akan objektif utama kejohanan ini, ia bukanlah semata-mata untuk mencari kemenangan dan kejuaraan, namun kejohanan ini dilihat sebagai platform untuk memupuk semangat kerja berpasukan selain mengeratkan lagi silaturrahim antara warga UiTM seluruh Malaysia”

Beliau di dalam ucapannya menyarankan “Kita semua sedar bahawa budaya bersukan dan gaya hidup sihat ini merupakan elemen penting dalam meningkatkan kualiti kesihatan kita. Sejajar dengan itu, dengan adanya kejohanan ini, ia juga dapat mengaplikasikan Matlamat Pembangunan Lestari atau SDG pada agenda matlamat ke-3 iaitu: kesihatan dan kesejahteraan,” jelas beliau ketika merasmikan Karnival Sukan Staf (KARiSTA) UiTM 2023 di Dewan Indera Segara UiTM Cawangan Pahang pada selasa.

Karnival Sukan Staf (KARiSTA) UiTM 2023 telahpun melabuhkan tirainya pada khamis selepas seminggu berlangsung di sekitar UiTM Cawangan Pahang dan telah menobatkan Kontinjen UITM Shah Alam sebagai juara keseluruhan Karnival Sukan Staf (KARiSTA) UiTM 2023 selepas berjaya mengutip 13 pingat emas, 9 perak dan 9 gangsa.Tahniah diucapkan kepada UiTM Cawangan Perlis kerana dipilih menjadi tuan rumah KARiSTA 2024.