Memanah pertama kali diadakan di KARiSTA 2023

Bandar Jengka, 9 Mac 2023 – Buat julung kalinya sukan memanah telah diadakan di Karnival Sukan Staf UiTM (KARiSTA 2023) bertempat di Lapang Sasar Memanah UiTM Cawangan Pahang, yang diadakan pada 6 hingga 8 Mac 2023.

Objektif utama KARiSTA adalah untuk mengeratkan silaturrahim di antara staf seluruh kampus UiTM, memberi impak kepada Matlamat 3: Sustainable Development Goals (SDG) iaitu Good-Health and Wellbeing dalam usaha UiTM mempromosikan gaya hidup sihat dan sejahtera melalui penganjuran program sukan kepada warganya dan menjadi medan pemilihan wakil Kontinjen UiTM Malaysia ke Kejohanan Sukan Staf Universiti (SUKUM) 2023.

Penyertaan yang menggalakkan daripada 6 kampus cawangan UiTM iaitu Johor, Negeri Sembilan, Perak, Shah Alam, Sabah, Selangor, Terengganu dan tuan rumah Pahang menunjukkan bahawa sukan memanah ini seharusnya diteruskan dalam edisi KARiSTA yang akan datang.

Kontinjen Shah Alam menghantar penyertaan paling ramai iaitu 10 orang atlet melibatkan lelaki dan Wanita. Secara keseluruhannya 23 pemanah menyertai kategori lelaki individu dan 17 pemanah menyertai kategori wanita individu.

Bagi acara Kelayakan Individu lelaki, Hasnizam Omar (Johor) telah memenangi pingat emas dengan pengutan skor sebanyak 656 dengan dikuti oleh Muhamad Noor Mohamed (Negeri Sembilan) perak dengan skor 647 dan pingat gangsa bersama Mohd Awaludin Ibrahim (Shah Alam) dan Mohammad Lufti Mohammad Ishak (Shah Alam) dengan skor masing-masing 647 dan 645.

Emas acara Kelayakan Individu wanita pula diungguli oleh Nur Aimi Jani (Shah Alam) dengan skor 656 dengan diikuti oleh Siti Hamizah Selamat (Johor) pingat perak dengan skor 638 dan pingat gangsa bersama dimiliki oleh Arina Nabilah Abd Latif (Pahang) 611 dan Siti Ruzaliza Robaai (Johor), 608.

Perlawanan sengit pusingan kalah mati kategori lelaki menyaksikan Mohd Fahmy Mohd Faudzi (Shah Alam) telah memenangi pingat emas manakala Hasnizam Omar (Johor) terpaksa berpuas hati dengan pingat perak. Manakala tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh Amar Sharuddin dan atlet tuan rumah Mohamad Azmi Nias Ahmad.

Nur Aimi Jani (Shah Alam) muncul Johan acara pusingan kalah mati kategori wanita setelah mengenepikan cabaran Siti Hamizah Selamat (Johor) yang memenangi pingat perak. Ainun Jariah Yaacob dan Arina Nabilah Abd Latif (Pahang) telah muncul pemenang pingat gangsa bersama.

Secara keseluruhannya, acara memanah KARiSTA 2023 ini telah berjaya melahirkan beberapa pemanah baru yang sebelum ini tiada dalam radar pemilihan untuk ke SUKUM. Dengan lebih ramai kemunculan pemanah berbakat ini, UiTM bakal menjadi pasukan yang padu dan mantap untuk membawa cabaran yang lebih hebat di kejohanan luar pada masa hadapan.