UiTM Terus Ungguli Anugerah Diamond Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC 2030 Challenge) Tahun ke-4 Berturut-turut

Shah Alam, Selangor – Penyertaan kali keempat Universiti Teknologi MARA (UiTM) di dalam Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC 2030 Challenge) untuk tahun 2022 terus mencatat sejarah tersendiri apabila satu (1) zon dan enam (6) bangunan UiTM telah berjaya merangkul Anugerah Berlian (Diamond).

Program di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang bertemakan cabaran pembentukan zon-zon rendah karbon di sekitar negeri dan bandar utama di Malaysia ini telah dimandatkan penganjurannya kepada Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC). Penganjuran Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 ini adalah merupakan fasa kedua bagi pelaksanaan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) untuk tempoh pelaksanaan tahun 2019 sehingga 2030.

Melalui penyertaan pada kali ini, satu zon dan enam bangunan Universiti Teknologi MARA telah diumumkan sebagai pemenang pencapaian berlian (Diamond):
Zon/Bangunan Pencapaian UiTM Bagi LCC2030C bagi tahun 2022

Zon/Bangunan Pencapaian UiTM Bagi LCC2030C bagi tahun 2022

Penurunan Karbon (%) Anugerah Diamond
Seksyen 1, UiTM Shah Alam 45.27 5
Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) 68.63 5
Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) 8.18 2
Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin 46.74 5
Pusat Kesihatan 16.35 3
Akademi Pengajian Bahasa 37.86 4
Kompleks Pejabat Pembangunan Infrastuktur dan Infosktruktur 7.89 2

Elemen pengukuran untuk Zon Seksyen 1 UiTM adalah dengan menilai kecekapan penggunaan tenaga, kecekapan penggunaan air, pengurusan sisa dan keluasan kawasan hijau. Manakala bagi bangunan UiTM, element pengukuran adalah berfokus sepenuhnya kepada kecekapan penggunaan tenaga.

Pencapaian membanggakan dengan penurunan karbon yang berjaya dicapai oleh Universiti Teknologi MARA di dalam Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 ini jelas menunjukkan kesinambungan komitmen penuh yang telah diberikan oleh Universiti untuk terus memperkasakan agenda kelestarian bagi mencapai aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Transisi Universiti bagi menyokong agenda kelestarian ini dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif hijau yang telah dilaksanakan di dalam Universiti bagi membantu pengurangan kadar pelepasan sisa karbon kepada alam sekitar dan seterusnya menuju kearah Kampus Rendah Karbon (Low Carbon Campus).