PUNCAK ALAM, 2 & 3 Ogos 2023 – Pusat Pengajian Fisioterapi (PPF) Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UiTM Cawangan Selangor (UCS) Kampus Puncak Alam telah berjaya mengadakan program Physiotherapy Research Colloquium, Alumni Expert Seminar, & Career Day 2023. Program yang berlangsung selama 2 hari tersebut telah menyasarkan dua objektif utama iaitu untuk meningkatkan potensi kebolehpasaran bakal graduan bidang pengajian Fisioterapi dan untuk menjalin serta mengukuhkan hubungan dua hala antara pusat pengajian dan agensi-agensi industri dalam bidang yang sama.
Selama 2 hari program berlangsung, seramai 59 orang pelajar akhir tahun Pusat Pengajian Fisioterapi telah melibatkan diri dalam sesi membentangkan hasil kajian bagi Projek Akhir Tahun masing-masing. Selain dari itu, para pelajar turut juga menghadiri sesi perkongsian bersama alumni Pusat Pengajian Fisioterapi yang sudah berpuluh tahun berkecimpung dalam bidang Fisioterapi dan perniagaan. Melalui slot perkongsian tersebut, para pelajar didedahkan tentang cabaran yang bakal dihadapi dalam dunia kerjaya dan persiapan yang perlu dilakukan, yang bukan sahaja mampu meningkatkan kebolehpasaran bakal graduan, malah turut memperkasa keberlangsungan kerjaya di sesebuah syarikat.
Pada masa yang sama, program ini turut berperanan sebagai platform yang menghubungkan para bakal graduan dengan agensi-agensi industri dalam bidang Fisioterapi. Sebanyak 11 agensi-agensi swasta telah bersetuju untuk melakukan sesi temuduga bersemuak yang berlangsung pada hari yang berikutnya. Diantara agensi-agensi yang terlibat adalah Pantai Integrated Rehab Sdn Bhd, Avisena Hospital Wanita & Kanak-kanak, Hospital Penawar, GT Physio & Rehabilitation, PhysioCare Malaysia, PhysioGo, TenderTouch Pediatric Rehab, PhysioMobile, Alpro Physio, MyPhysio, dan BackToLife Chiropractic & Rehabilitation. Ini secara tidak langsung membuka peluang bagi menjalin hubungan dua hala di antara Pusat Pengajian Fisioterapi dan agensi-agensi industri pada masa yang akan datang.
Berdasarkan temubual yang dijalankan oleh ahli jawatan kuasa yang terlibat, setiap agensi yang hadir telah memberikan komen yang positif terhadap prestasi bakal graduan Pusat Pengajian Fisioterapi dan berharap program seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang. Mereka turut mengatakan agar hubungan kerjasama yang terjalin melalui program ini dapat dikekalkan dan diperluaskan melalui program lain kelak.