Karnival Kepimpinan, Keusahawanan, Kerjaya dan Inovasi (Alumni & Komuniti)

Pada 23 Mei 2023 sehingga 25 Mei 2023, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) telah menganjurkan Karnival Kepimpinan, Keusahawanan, Kerjaya Dan Inovasi (Alumni & Komuniti). Program ini dilaksanakan oleh Persatuan Planter’s Guild (PGI’S) dengan Kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar FPA. Program ini melibatkan 13 syarikat daripada pelbagai bahagian dalam industri perladangan dan pertanian. Pelbagai aktiviti yang dibuat seperti ceramah, demonstrasi, pertandingan inovasi dan juga aktiviti melibatkan komuniti yang terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar IPTA/IPTS dan juga warga fakulti.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, YBhg. Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi di auditorium UiTM Cawangan Melaka, Kampus Jasin. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut adalah YBhg. Prof. Ts. Dr. Azhan bin Hashim@Ismail, Dekan FPA, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof, Madya Dr. Shahsuzan Zakaria, Pengarah Pembangunan Pelajar, Tuan Ahmad Fauzi Mat Isa, Naib Presiden Analisis Perniagaan Perbankan Bank Rakyat, Timbalan-timbalan Rektor HEP UiTM, barisan Pengurusan Eksekutif FPA, Pegawai-pegawai Bank Rakyat, wakil-wakil industri, Staf akademik dan pentadbiran FPA serta mahasiswa FPA.

Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan dan gambaran serta ilmu-ilmu kepada para mahasiswa untuk menyiapkan diri sebelum menceburkan diri dalam alam pekerjaan. Ia juga menjadi platform perkongsian ilmu daripada pihak alumni/industri berkenaan isu-isu semasa berkaitan industri perladangan negara. Di samping itu, program ini mampu menjadi penghubung kepada mahasiswa dan komuniti jemputan untuk berinteraksi dan saling bertukar maklumat dengan pihak alumni dan industri yang telah berjaya dalam kerjaya.

Akhir sekali, program ini diharap dapat memperkukuhkan hubungan dan meningkatkan kerjasama serta jalinan persahabatan dengan pihak industri. Selain itu, ia diharapkan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dan penghasilan graduan yang berkualiti agar dapat memenuhi kehendak dan keperluan universiti.