Karnival Bulan Cinta Islam, UiTM Cawangan Selangor

Pada 1 hingga 9 April 2023 bertempat di Masjid Ibnu Sina UiTM Puncak Alam, telah dijalankan satu Program KARNIVAL BULAN CINTA ISLAM bagi pelajar-pelajar yang menginap di kolej Kediaman Casuarina khususnya. Program ini juga turut disertai oleh pelajar-pelajar dari kolej kediaman yang lain. Program ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Casuarina dengan kerjasama JPK Kolej Rafflesia. Program ini tersebut turut disertai oleh barisan Staf Residen Kolej (SRK) serta staf Unit Pengurusan Kolej.

Tujuan program tersebut dijalankan adalah bagi mengenengahkan para pelajar kolej yang memiliki bakat terpendam dalam pelbagai kemahiran suara dan buah fikiran. Selain itu program tersebut juga turut dijadikan sebagai platform bagi persediaan Kolej Casuarina dalam menyertai mana-mana pertandingan berbentuk nasyid, bacaan al-quran dan taklimat Islam.

Program Karnival Bulan Cinta Islam ini membawa 4 pertandingan di bawahnya, iaitu pertandingan Tilawah Al-Quran, Nasyid, Da’i Muda dan Kuiz Agama. Pertandingan yang diadakan ini sudah pasti memberikan impak yang positif kepada pelajar-pelajar di kampus Puncak Alam ini. Antaranya, pertandingan tilawah Al-Quran dan Da’i Muda, pertandingan ini sudah pasti dapat meningkatkan lagi kemampuan pelajar kita untuk berbicara di hadapan khalayak ramai dan memperkuatkan lagi keyakinan diri mereka sebagai seorang pelajar. Bagi pertandingan nasyid pula, dengan wujudnya platform sebegini, pelajar dapat mengembangkan lagi bakat seni yang mereka pendam selama ini, sekaligus dapat menyampaikan mesej dakwah dalam bentuk irama lagu kepada pelajar yang lain. Oleh itu, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa program sebegini dapat memberikan manfaat serta impak yang positif kepada pelajar-pelajar kita.

Dengan usaha yang dilakukan ini, diharapkan program ini dapat memberikan manfaat serta pengalaman yang berharga untuk para pelajar, tidak kira siapa pun, sama ada yang menjadi peserta ataupun penonton mahupun penganjur program ini. Seterusnya, agar program ini dapat menjadi titik awal bagi pelajar kita untuk terus terlibat dalam kegiatan yang dapat meningkatkan lagi nilai kerohanian dalam diri seorang pelajar. Kesemua peserta diberikan e-merit sebagai bekalan mereka untuk kemasukan kolej ke semester akan datang.

Program ini diakhiri dengan Majlis Penutupan Karnival Bulan Cinta Islam pada sebelah petang, 9 April 2023 dan dilangsungkan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang yang telah disampaikan oleh Pengetua Kolej Angsana dan Casuarina iaitu Encik Irwan Zakaria.