Jasmine Talk: Leaders Edition 1.0

Jasmine Talk: Leaders Edition 1.0 merupakan program 14 minggu bermula daripada 24 Oktober 2020 sehingga 23 Januari 2021. Program ini merupakan anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej Jasmine Sesi 2020/2021 UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Perdana buat julung kalinya. Program ini berformat video pendek di mana video disampaikan oleh seorang panel dalam kalangan pelajar daripada Universiti tempatan setiap minggu. Jumlah penyertaan panel yang telah terlibat adalah seramai 13 orang. Video-video daripada panel tersebut disiarkan pada setiap hari Sabtu di laman Instagram rasmi Jawantankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Jasmine. Selain itu, Jasmine Talk: Leaders Edition 1.0 adalah satu program kolaborasi bersama dengan 9 Universiti tempatan dan kelab persatuan. Antaranya ialah Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Pilah, Institut Pendidikan Guru dan banyak lagi.

Topik video daripada panel adalah berbeza setiap seorang dan panel bebas untuk memilih topik video asalkan ianya bersesuaian dan berunsurkan ilmiah. Antara topik video panel yang dipilih ialah kepimpinan, komunikasi, pengurusan masa, pengurusan kewangan, dan banyak lagi topik menarik dan bermanfaat kepada pelajar untuk diterapkan dalam kehidupan seharian. Hasil daripada siaran video panel di Instagram, peserta diminta untuk menjawab soalan berkaitan dengan topik yang bertujuan untuk menguji kefahaman peserta dalam memahami kandungan video untuk diaplikasikan semasa menjawab soalan berkaitan dengan video yang disiarkan.

Jasmine Talk: Leaders Edition 1.0 adalah program yang bertujuan untuk mewujudkan kerjasama dan jaringan komunikasi antara Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Jasmine dan pihak universiti tempatan dan kelab persatuan. Selain itu, Jasmine Talk: Leaders Edition ialah program berimpak tinggi yang melahirkan budaya pemikiran dinamik serta berintelektual kepada para pelajar. Menurut pengarah program, Ayu Nabila binti Kamarulzaman bersama penasihat program iaitu Encik Ahmad Nazri bin Mansor serta ahli jawatankuasa program yakin bahawa program seperti ini mampu memberi impak yang besar kepada pelajar. Hasilnya, ramai peserta yang terlibat menjayakan program ini dimana anggaran penyertaan adalah seramai 200 ke 300 orang penyertaan setiap minggu. Akhir kata, cabaran norma baharu bukanlah penghalang kepada Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Jasmine untuk menganjurkan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada mahasiswa.