Fakulti Sains Sukan & Rekreasi anjur webinar “Build Fitness and Burn Fat at Home”

KOTA SAMARAHAN: Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak baru-baru ini telah menganjurkan webinar “Build Fitness and Burn Fat at Home”. Webinar yang telah berlangsung secara dalam talian ini dikendalikan oleh En. Gordon Nicolaus Jemat Anchang sebagai pembentang dan En. Suhardi Kram sebagai moderator. Sesi webinar tersebut bermula pada jam 10 pagi melalui platform Google Meet dan telah dihadiri oleh 100 orang peserta dari UiTM Cawangan Sarawak dan kampus lain seperti UiTM Perak dan UiTM Seremban. Webinar ini juga telah disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi FSR UiTM Sarawak dan mendapat jumlah tontonan sehingga 500 orang yang kebanyakannya pelajar dan alumni FSR sendiri.

Objektif utama webinar ini adalah untuk berkongsi tentang pengetahuan asas berkenaan beberapa sistem anatomi tubuh badan, organ-organ yang terlibat, kaedah pengukuran kadar degupan jantung, beberapa jenis senaman yang boleh dilakukan di rumah serta cara untuk merancang dan menguruskan senaman.

Webinar ini juga telah menyediakan tiga set video yang memaparkan sampel senaman kardiovaskular yang boleh dilakukan di rumah dan senaman berat badan untuk kedua-dua lelaki dan perempuan. Di samping itu, terdapat juga sesi soal jawab untuk memberikan peluang kepada para peserta untuk bertanya mengenai jenis-jenis senaman yang ideal, penghitungan degupan jantung dan lain-lain.

Tahniah diucapkan kepada para pensyarah FSR dan seluruh pihak pengurusan program.