Jalinan Mesra Aidilfitri 2023 Merapatkan Ukhwah di Bahagian Hal Ehwal Pelajar FPP

PUNCAK ALAM, 12 Mei 2023 – Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) FPP telah menganjurkan program Jalinan Mesra Aidilfitri 2023 HEP FPP. Ianya bertempat di pejabat Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) FPP di tingkat 16, Bangunan FSK6, UiTM Kampus Puncak Alam.

Penganjuran program ini dilaksanakan dengan mengetengahkan konsep “potluck” di mana setiap biro SMF dan staf-staf HEP FPP membawa pelbagai juadah raya yang berbeza. Konsep ini telah menjadi nilai yang telah dipupuk sejak dahulu di kalangan para pelajar dan staf-staf HEP FPP supaya sifat suka bersedekah, saling berkongsi, bersederhana dan bermuafakat antara satu sama lain dapat dijalin. Di samping itu, ianya juga dapat merapatkan jurang antara pelajar dan staf-staf di HEP.

Majlis bermula sekitar pukul 3 petang di mana para pelajar yang terdiri daripada ahli-ahli SMF dan MPP menyediakan ruang hidangan makanan, dan ruang untuk menikmati hidangan dan beramah mesra antara satu sama lain. Majlis juga diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Timbalan Dekan HEP FPP Tuan Syed Ashrene Syed Omar. Di samping itu, majlis juga dimeriahkan dengan sesi bergambar di antara MPP, SMF, staf-staf HEP dengan Timbalan Dekan HEP. Majlis yang berjalan dengan suasana meriah dan muhibbah ini berakhir di sekitar pukul 5 petang.