InQKA menganjurkan e-Forum sempena Hari Kualiti Sedunia 2020

Sambutan Hari Kualiti Sedunia ialah acara tahunan yang di sambut setiap tahun pada setiap hari Khamis, minggu kedua bulan November. Untuk tahun ini, Hari Kualiti Sedunia 2020 diadakan pada 12 Nov 2020. Berikutan dengan itu, Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan e-Forum yang bertajuk Pengaruh COVID-19: Cabaran Pengurusan Kualiti Universiti secara atas talian menggunakan Zoom Webinar.

Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Ir. Dr Abdul Rahman Omar, Penolong Naib Canselor (Strategik), UiTM dengan penyertaan seramai lebih 450 peserta dari pelbagai organisasi.  Empat orang panel yang merupakan wakil dari empat kumpulan telah meluangkan masa untuk berkongsi pandangan di e-Forum tersebut. Mereka ialah Encik Hadzli Ishak seorang Ketua Unit Kuailti di UiTM Cawangan Kedah, Saudari Tuan Siti Nursalamah Tuan Azman yang merupakan pelajar tahun akhir dari Fakulti Undang-Undang, Puan Sharifah Yuliana Syed Ali Hanafiah seorang pensyarah dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dan Encik Nor Amiruddin Mokhtaruddin sebagai Timbalan Pendaftar Kanan di UiTM Cawangan Sarawak.

Semenjak bulan Mac 2020, pandemik COVID-19 telah mula melanda dunia dan menyebabkan beberapa kekangan. Antara kekangannya adalah larangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap sebarang aktiviti yang biasa dilakukan secara fizikal selama ini. Inilah yang dikatakan norma baharu. Lama kelamaan, penularan di negara kita telah berkurang dan aktiviti telah kembali rancak seperti “biasa”.

Akan tetapi, baru-baru ini, dalam gelombang ketiga, angka kes baru terus meningkat kepada 3 atau 4 digit. Ianya sesuatu yang di luar jangkaan semua dan amat mengejutkan. Justeru, sedikit sebanyak telah menjejaskan perancangan universiti, secara umumnya. Sebagai moderator program, Prof Dr Roziah Mohd Janor, Penolong Naib Canselor InQKA telah berkongsi senario dan cabaran yang dihadapi oleh semua orang dalam organisasi universiti.

Panel En Hadzli telah mengulas pengaruh COVID-19 terhadap proses pengurusan audit kualiti seperti COPIA, COPPA dan MQA, proses penganjuran pertandingan di peringkat universiti, proses aktiviti KIK dan aktiviti-aktiviti tetap yang mana ianya masih diteruskan mengikut perancangan walaupun terdapat ketidak-lancaran kepada perjalanan aktiviti-aktiviti tersebut. Natijahnya, terdapat beberapa proses yang terbukti boleh dilaksanakan secara digital seperti terhasilnya contoh sistem i-AKNC yang telah mengumpul beberapa proses pendokumentasian secara digital untuk dipertandingkan. Walau bagaimanapun ianya perlu diperhalusi dari segi ketelusan dan keselamatan, usaha untuk cemerlang dalam sesebuah proses itu diihat tidak mustahil untuk dilakukan secara digital dan maya.

Saudari Tuan Siti Nursalamah yang mewakili kumpulan suara pelajar pula mengemukakan 5 kesan COVID-19 ini terhadap pelajar iaitu kesan terhadap kaedah pembelajaran, persekitaran pembelajaran, sokongan moral keluarga, bebanan tugasan rumah dan kewangan para pelajar. Pelajar di lihat sangat terkesan apabila pembelajaran sebenar hanya dilalui dengan sekadar berada di depan skrin komputer. Sebagai contoh, pengalaman sebenar dalam mengharungi suasana latihan tidak dirasai oleh pelajar. Malah terdapat pelajar yang terpaksa melakukan tugasan rumah di samping belajar. Beliau yang melabelkan “rumah adalah kampus pelajar” mengulas pengalaman belajar di rumah adalah suatu proses pembelajaran yang unik yang tidak dialami oleh semua orang.

Puan Sharifah Yuliani pula mewakili kumpulan pensyarah turut berkongsi beberapa kejayaan dan inovasi fakulti sepanjang pandemik COVID-19. Beliau mengatakan walaupun sukar untuk mengajar secara atas talian, pensyarah perlu kreatif untuk berkomunikasi dan mendengar segala keluhan pelajar sepanjang sesi pengajaran. Pensyarah dilihat peka dan pandai menyesuaikan diri kaedah pengajaran dan pembelajaran atas talian, yang pada awalnya agak kekok untuk menggunakannya. Selain itu, pensyarah juga turut mengambil kesempatan untuk berkolaborasi dengan NGO untuk melancarkan sumbangan dan bantuan kepada individu yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Perbincangan oleh panel terakhir iaitu Encik Nor Amiruddin Mokhtaruddin yang mewakili kumpulan pentadbir pengurusan universiti telah berkongsi pengalaman beliau sebagai pesakit COVID-19. Pengaruh pandemik ini telah banyak menambahbaik proses pengurusan kesihatan warga universiti, pengurusan latihan staf dan pengurusan prestasi LNPT staf. Menurut beliau, bagi pengurusan kesihatan warga, aplikasi web untuk Deklarasi Harian Saringan Risiko COVID-19 UiTM telah diwujudkan. Data-data yang terkumpul telah di analisa secara harian bagi memantau tahap kesihatan warga UiTM serta memberi khidmat kaunseling kepada warga yang menerima rawatan.

Bagi pengurusan latihan staf pula, terdapat banyak penjimatan berbanding dengan unjuran belanjawan sebelum ini walaupun jam latihan staf tercapai. Kebanyakkan staf telah terdedah dengan latihan secara atas talian. Justeru itu, beliau menyarankan dalam suasana sebegini universiti perlu mengambil peluang untuk berkolaborasi dengan universiti luar yang terkemuka agar visi dan misi university tercapai. Dalam pengurusan prestasi LNPT pula, terdapat dua pendekatan yang akan dilaksanakan iaitu penilaian secara maya dan secara fizikal. Penilaian yang diukur dari output dilihat sebagai satu kaedah untuk menilai prestasi kerja yang memerlukan perlaksana fizikal dalam tugasan seseorang staf itu.

Perbincangan dalam e-Forum ini menarik dan ianya merupakan perbincangan dari kumpulan yang terkesan secara tidak langsung dalam menangani tugasan harian dalam norma baharu. Perbincangan ini telah akhiri dengan sesi soal jawab dari soalan yang dikemukan oleh peserta melalui aplikasi Pigeonhole.