JASIN, 6 Oktober 2023 – Pada 4 Oktober 2023 Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin telah menerima kunjungan daripada Fakultas Pertanian, Universitas Islam Sumatera Utara, Indonesia yang diwakili oleh Assoc. Prof. Dr. Ir. Murni Sari Rahayu, MP, Dekan Fakultas Pertanian, Assoc. Prof. Dr. Ir. Yenni Asbur, MP, Ketua Program Stadium Magister Agroteknologi dan Ir. Bambang SAS, M.Sc., Ph.D, Pensyarah Fakultas Pertanian.
Delegasi daripada Universitas Islam Sumatera Utara telah dibawa meninjau ladang FPA serta telah diberi penerangan berkaitan alat inovasi rekaan Kumpulan AgroMIND iaitu Dynamic Cultivator Blade. Pada sesi penerangan tersebut, wakil kumpulan AgroMIND Encik Zaharuddin Sariman dan Puan Suraya Abdullah telah menjelaskan tentang fungsi prototaip yang dihasilkan. Dynamic Cultivator Blade atau digelar juga sebagai DCB merupakan mata bilah khas untuk aktiviti merumput dan menggembur tanah yang digabung dan dipasang pada mesin rumput. Penghasilan DCB secara langsung dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran amali ladang selari dengan SDG4: Quality of Education.
Pada sesi demonstrasi tersebut, pihak Universitas Islam Sumatera Utara telah melihat cara pengendalian DCB dan beranggapan bahawa produk yang dihasilkan sangat membantu dalam proses penyediaan plot tanaman terutamanya dari segi penjimatan masa dan kualiti. Selain itu, Dekan Fakultas Pertanian turut menyatakan penghargaan kepada kumpulan AgroMIND kerana dapat menghasilkan produk yang hebat dan berharap dengan penghasilan produk seumpama ini dapat memberi impak terhadap penggunaan teknologi dalam bidang pertanian. Semoga dengan penghargaan seumpama ini dapat mendorong warga Fakulti Perladangan dan Agroteknologi untuk menghasilkan produk yang berinovatif dan kreatif di masa akan datang.