PERANAN FAKULTI PENGURUSAN DAN PERNIAGAAN KE ARAH PEMBENTUKAN PROFESSIONAL HUFFAZ

Perkembangan pengajian islam khususnya pengajian tahfiz berlaku dengan pesatnya. Saban hari, pemohonan kemasukan ke sekolah beraliran agama dan maahad tahfiz menerima permintaan yang tinggi. Populariti yang meningkat dalam bidang pengajian islam ini turut mengundang minat institusi swasta untuk membuka pusat pengajian bagi menampung jumlah permintaan yang tinggi daripada masyarakat. Rentetan itu, jumlah calon dari aliran agama bagi kemasukan ke universiti juga turut bertambah dengan adanya gandingan daripada pihak kerajaan dan swasta tersebut.

Menyedari sejumlah besar daripada pelajar datangnya daripada aliran agama, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) turut tidak ketinggalan menyusun inisiatif bagi mempromosikan program-program yang ditawarkan di fakulti bagi melahirkan professional huffaz. Pelajar-pelajar sekolah aliran agama perlu cakna bahawa prospek kerjaya mereka tidak tertumpu kepada bidang agama sahaja seperti menjadi guru tahfiz dan pekerjaan di institusi keagaaman. Namun, peluang kerjaya mereka terbuka luang bagi menyambung pelajaran ke dalam bidang-bidang lain yang mereka minat seperti pengurusan pejabat, pemasaran, keusahawanan dan sebagainya.

Usaha giat telah dijalankan oleh fakulti di bawah penganjuran Unit Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan bagi mempromosikan dan memberi maklumat kepada pelajar-pelajar sekolah aliran agama tentang program-program yang ditawarkan di fakulti. Impaknya, semakin banyak sekolah telah berminat untuk datang ke UiTM khasnya ke FPP bagi mendapatkan perkongsian akademik dan kepakaran kepada pelajar mereka. Pada 20 Julai 2023 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau, Perlis telah berkunjung ke FPP bagi lawatan akademik dengan membawa sejumlah 71 pelajar tingkatan 5 dari aliran perniagaan dan perakaunan.

Kemudiannya, pada 18-19 Ogos 2023 SABK Maahad Al Ummah dan SABK Maahad Al Imam Assyafie berkunjung ke fakulti bagi program Kembara Akademik juga dengan penglibatan pelajar Tingkatan 5 yang mengambil mata pelajaran Perniagaan dan Prinsip Perakaunan. Lawatan akademik dan program Kembara Akademik ini memberi pendedahan kepada pelajar tentang halatuju tatkala tamat SPM kelak, pemakluman tentang program yang ditawarkan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Selain itu, turut disisipkan slot motivasi yang bertujuan untuk mewujudkan pemikiran baharu dan memberi pendedahan tentang persediaan sebelum melangkah kaki ke menara gading, memastikan pelajar cakna tentang tentang program-program yang ditawarkan oleh universiti dan menyalurkan informasi tentang peluang biasiswa sekiranya mereka menyambung pelajaran kelak. Intipati lain yang menjadi pengisian program adalah tentang kehidupan sebagai seorang mahasiswa universiti dimana fakus perkongsian adalah mengenai cabaran dan halangan sebagai mahasiswa.

FPP turut menganjurkan program English Fun-tastic bersama pelajar tingkatan 1 Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ) Sungai Besar. Program ini bertujuan untuk memupuk keseronokan di dalam pembelajaran Bahasa Inggeris kepada pelajar. Bukan sahaja perkongsian akademik, FPP juga turut berkongsi ilmu dan kepakaran kepada guru sekolah beraliran agama. Pada 20 – 21 Februari 2023, program Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) dijalankan bersama SRITI Darul Amilin bagi tujuan untuk perkongsian kepakaran daripada pensyarah fakulti kepada guru dan staf SRITI Darul Amilin tentang pengurusan konflik dan pengurusan perbelanjaan di dalam organisasi. Penyertaan melibatkan seramai 50 guru dan 15 orang staf daripada SRITI Darul Amilin.

Inisiatif-inisiatif ini dapat mendekatkan lagi FPP dengan sekolah tahfiz dan aliran agama sekaligus menunjukkan kesungguhan fakulti di dalam menggalakkan pelajar tahfiz dan aliran agama untuk menjadi seorang professional di dalam pelbagai bidang.