‘Info Me’ Fakulti Sains Kesihatan

Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah menjalankan program Info Me sepanjang sesi 2019/2020 yang kini telah sampai ke penghujungnya. Program tersebut yang diadakan pada setiap hari Khamis merupakan sebuah program kolaborasi Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK) bersama persatuan-persatuan dalaman di Fakulti Sains Kesihatan. Setiap exco akademik dalam persatuan dalaman FSK telah melibatkan diri secara langsung dan tidak langsung di dalam program ini.

Program Info Me ini bertujuan untuk memperkenalkan program-program yang ditawarkan di FSK kepada bukan sahaja para mahasiswa di FSK, malah masyarakat luar juga. Di samping itu, program ini juga merupakan salah satu saluran di mana pengetahuan-pengetahuan am berkaitan isu kesihatan dapat disalurkan kepada mahasiswa. Sebagaimana yang kita maklum, sesi 2019/2020 ini merupakan sesi di mana para mahasiswa berada di dalam tempoh negara kita diancam oleh Coronavirus disease 2019 (COVID-19). Dengan adanya program ini, info-info mengenai COVID-19 juga dapat disebarkan kepada para mahasiswa FSK melalui platform media sosial.

Pelaksanaan program ini diusahakan oleh setiap exco akademik Sekretariat Mahasiswa Fakulti dan persatuan-persatuan dalaman FSK di mana mereka perlu menyediakan sebuah poster berkaitan kursus mereka dan info-info yang berkaitan. Setiap poster yang telah dihantar telah dimuat naik di laman media sosial rasmi Instagram Sekretariat Mahasiswa Fakulti (smf_fsk) dan persatuan-persatuan dalaman FSK selain turut ditularkan di aplikasi Whatsapp. Namun begitu, info-info di dalam poster tersebut telah disahkan oleh penasihat persatuan masing-masing terlebih dahulu sebelum disebarkan. Hal ini bagi mengelakkan sebarang info yang salah atau tidak tepat dimasukkan di dalam poster.

Sepanjang program ini berlangsung, sepuluh poster telah berjaya disebarkan mengikut aturan yang telah ditetapkan melalui laman Instagram rasmi dan aplikasi Whatsapp. Poster-poster berkaitan COVID-19 serta kursus-kursus yang ditawarkan di FSK telah berjaya disediakan oleh exco akademik daripada lapan persatuan-persatuan dalaman FSK. Hal ini membuktikan bahawa selain daripada isu COVID-19 yang melanda, program ini masih dapat dilangsungkan dengan baik dan jayanya atas kerjasama setiap individu yang terlibat di dalam program Info Me ini.

Melalui program ini, pelbagai interaksi antara mahasiswa berjaya dijalankan selain menjadikan mahasiswa lebih terdedah kepada kursus-kursus yang terdapat di FSK. Bukan itu sahaja, program yang melibatkan penyedian poster digital menggunakan komputer ini juga telah menjadikan individu-individu yang terlibat dalam program ini lebih mahir dalam mengendalikan hal-hal multimedia berkaitan Information Technology(IT) selain turut berkerjasama bagi menjayakan program ini. Sehubungan dengan itu, diharapkan program Info Me ini telah memberikan banyak manfaat yang baik selain menjadikan mahasiswa UiTM lebih cakna dengan perkara isu-isu semasa yang berlaku di dalam dan luar FSK.