iidex2023 sebagai Pemangkin Budaya Inovasi dan Penyelidikan UiTM

PUNCAK ALAM, 15 DISEMBER 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) telah menganjurkan program pameran dan pertandingan antarabangsa Invention, Innovation, and Design Exposition (iidex2023) hari ini.

iidex yang kini telah melangkah kejayaan bagi tahun ke-19 permulaanya merupakan aktiviti tahunan berteraskan pertandingan penghasilan produk inovasi yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan ke peringkat global. Matlamat utama program adalah bagi menyokong usaha kerajaan dalam merealisasikan masyarakat yang membudayakan sains, teknologi, dan inovasi. Selaras dengan aspirasi Malaysia untuk mewujudkan Ekosistem Inovasi, intipati Anjakan Ke-7 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, program ini menjadi platform bagi mencipta peluang dan meransang usaha kreatif kepada inventor dalam menerapkan kreativiti dan inovasi dalam peyelidikan.

Buat julung kalinya iidex kembali dilaksanakan secara fizikal setelah dua tahun dibuat secara atas talian oleh kerana pandemik covid-19. Program yang berlangsung selama lima hari bertempat di Dewan Berlian, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, Malaysia ini telah melibatkan lebih 478 penyertaan di kalangan pelajar sekolah, ahli akademik, industri dan institusi kerajaan. Program turut dimeriahkan dengan sebanyak 368 pameran hasil inovasi dan penyelidikan serta diserikan dengan beberapa program seperti:

  1. Bizz Talk bersama pakar industri dari Malaysia Palm Oil Board (MPOB), Startlah Innovation PLT, Atmesfer Inc dan Syarikat Apple Malaysia
  2. Pitching Product Competition
  3. Perkhidmatan Klinik Optomeri Bergerak, Bas IP Mobile Perbadanan Harta lntelek Malaysia (MylPO), Kempen Derma Darah oleh Pusat Darah Negara dan Klinik Pergigian Bergerak UiTM

Ucapan perasmian penutup daripada YBhg. Profesor Ts. Dr Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), UiTM telah menyatakan bahawa, “iidex2023 tentunya menjadi medan bagi kita memperlihat usaha-usaha inovasi yang kritikal yang telah dilakukan seiring dengan hasrat bagi memenuhi 17 Matlamat Pembangunan Lestari atau dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDG) yang digariskan oleh United Nation”.

Turut hadir YBhg. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor, UiTM Cawangan Selangor, YBhg. Profesor Dr Nor Azura Md Ghani, Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan UiTM (RMC), merangkap pengerusi iidex2023, barisan pengarah, timbalan pengarah, ketua jabatan, koordinator dan sekretatiat iidex2023.

Pelaksanaan iidex ini diharap mampu memberi dorongan kepada warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) agar terus berinovasi dan mencari peluang-peluang idea baharu dalam membantu Malaysia menjadi sebuah negara yang berteknologi tinggi berlandaskan ekonomi yang diterajui inovasi.