De Palma Hotel, Shah Alam, 4 April 2023 – Yang Berbahagia Profesor Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke 50 Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS). Mengambil berkat bulan Ramadan yang mulia, majlis ini turut diserikan dengan kehadiran 50 orang anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, Kampung Melayu Subang, Shah Alam.
Majlis Pelancaran Sambutan ke 50 iCEPS ini membawa mesej penghargaan kepada pimpinan terdahulu yang telah menyumbang pelbagai jasa dan bakti demi pembangunan dan perkembangan Program Sepanjang Hayat selain meraikan tiap usaha dan rangsangan yang diberikan oleh pengurusan tertinggi UiTM. Majlis ini dimeriahkan lagi dengan penglibatan Dekan-dekan Fakulti dan Rektor-rektor Cawangan yang sentiasa memberi sokongan padu dalam setiap pelaksanaan program iCEPS samada dalam negara mahupun di luar negara.
Memetik ucapan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, beliau mengharapkan medium sebegini digunakan sebaiknya oleh institusi Pendidikan untuk memastikan tiada ketirisan Pendidikan di kalangan anak-anak yatim yang sepatutnya diberi perhatian lebih. Beliau turut menyatakan kepentingan pendedahan Program Sepanjang Hayat ini disebar luas kepada seluruh masyarakat agar tiada lagi yang ketinggalan dalam meningkatkan kualiti diri masing-masing.
Melalui tema sambutan Education Beyond Technology, Ketua Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) Profesor Dr. Azizul Halim Yahya turut menjangkakan lebih banyak kejayaan yang akan dilakarkan oleh warganya seiring dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi khusus kepada “The Future of Higher Education in a Disruptive World”. Selain itu, usaha-usaha untuk memberikan sokongan dan perhatian khusus kepada anak-anak yatim dalam Pendidikan dan pembangunan modal insan akan dirancang dan dilaksanakan dengan teliti bagi perkembangan mereka sebagai individu yang bertanggungjawab dan berjaya.
Sebagai rekod, iCEPS kini mempunyai lebih 13,000 pelajar separuh masa yang aktif termasuk 218 pelajar sepenuh masa antarabangsa. Tahun 2023 bakal menjadi titik tolak untuk iCEPS melakarkan nama UiTM di peringkat global dan terus memberikan manfaat kepada mayarakat di dalam dan luar negara.