iBin Menjadi Perintis Untuk Membudayakan Aktiviti Kitar Semula

JASIN, 22 November 2023 – Telah berlangsung Majlis Perasmian Projek Smart Bin (iBin) dan penyerahan tong kitar semula bertempat di dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pay Chiao selaku tuan rumah. iBin adalah tong kitar pintar yang dibangunkan untuk mengautomasikan proses pengumpulan sisa sampah kitar semula dengan mengaplikasikan teknologi IoT. Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian, Ts. Dr. Jamaluddin Jasmis, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Melaka Kampus Jasin.

Majlis telah dihadiri oleh Pengurus Besar Korporat, SWM Environment Sdn Bhd, Tuan Haji Norlisham Mohd Nordin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Jasin, Dr. Mohd. Alfouzi bin Nasir, Timbalan En. Adnan bin Isenin, Guru Besar SJK(C) Pay Chiao, Guru Besar SK Merlimau Dua, Guru Besar SK Ayer Merbau dan Guru Besar SK Sungai Buloh.

Projek iBin ini diketuai oleh Puan Rosniza Roslan bersama penyelidik lain Dr. Noor Hasimah Ibrahim Teo, Dr. Raseeda Hamzah dan Cik Fadilah Ezlina Shahbudin bersama pelajar-pelajar iaitu Akmal Md Nasir dan Aiman Syafwan Amran adalah merupakan projek di bawah geran CE-SIR UiTM yang memperkenalkan penggunaan IoT dalam sistem pengurusan kitar semula. Rakan kolaborasi projek ini, SWM Environment Sdn Bhd telah menyumbang tong kitar semula kepada sekolah-sekolah yang dipilih sebagai perintis rakan teknologi bagi memulakan projek ini. Projek ini adalah merupakan projek fasa pertama untuk projek IoT yang melibatkan sistem pengurusan barangan kitar semula. Untuk fasa seterusnya, projek ini akan ditambahbaik dengan sistem pengkelasan barangan kitar semula menggunakan teknologi kecerdasan buatan supaya dapat mengautomasi operasi dengan lebih cepat yang mampu bertindak untuk memberikan solusi cerdas dalam meningkatkan ketepatan pengkelasan barangan kitar semula. Projek ini dibangunkan selaras dengan saranan kerajaan untuk menuju ke arah bandar pintar yang mampan.

Pihak KPPIM UiTMCM mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak SWM Environment Sdn. Bhd. atas kerjasama dan sumbangan, kepada SJK(C) Pay Chiao yang menyediakan lokasi untuk majlis, empat buah sekolah di Negeri Melaka yang sudi menjadi perintis projek ini serta semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini. Terima kasih juga kepada pihak media iaitu Melaka Hari Ini, Sin Chew, China Press, Sinar, Kosmo, dan Utusan yang membuat liputan majlis ini.