IBADAH KORBAN ERATKAN UKHUWWAH DAN MAHABBAH


TRONOH, 2 Julai 2023 – Ibadah korban disyariatkan ke atas umat Islam mengambil sempena kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. Firman Allah yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.” (Surah al-Hajj: 34).

Disamping objektif utamanya memanifestasikan ketaatan hamba kepada Allah SWT, ibadah korban dapat menyuburkan sikap cakna dan prihatin terhadap masyarakat sekeliling. Ini dapat dilihat dengan jelas menerusi pengagihan daging korban kepada mereka yang berhak menerimanya khususnya golongan fakir miskin. Secara tidak langsung, ibadah korban dapat menjalinkan hubungan kasih sayang sesama umat Islam. Korban juga mampu mewujudkan sikap murah hati membelanjakan harta ke jalan Allah dan sekaligus mengikis sifat tamak haloba.

Sehubungan itu, pihak Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Perak telah mengadakan program Korban pada 2 Julai 2023 (13 Zulhijjah 1445H) bertempat di Surau Al-Hidayah, Kampung Orang Asli Ayer Denak, Tronoh, Perak. Program kali ini diketuai oleh Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof@Salleh, pensyarah ACIS UiTM Perak. Program turut dimeriahkan dengan kehadiran Dr Ahmad Zoolhelmi Alias (Timbalan Rektor UiTM Tapah), Dr Mohd Zahirwan Halim Zainal Abidin (KPP ACIS UiTM Perak), Dr Daljeet Singh Sedhu a/l Janah Singh (Koordinator Unit Hal Ehwal Antarabangsa UiTM Perak), tenaga sukarelawan UiTM Perak dan ahli keluarga serta Sukarelawan Destini Iqra’. Program ini juga merupakan kesinambungan daripada program-program dakwah ACIS UiTM Perak dengan masyarakat orang asli Islam KOA Ayer Denak.

Sebahagian besar daging korban diagihkan kepada masyarakat Islam orang asli KOA Ayer Denak. Ada juga daging yang dimasak sebagai hidangan tengahari secara bergotong royong oleh para sukarelawan dan kaum ibu masyarakat Islam KOA Ayer Denak. Majlis berlangsung dengan begitu meriah sekali. Majlis turut dimeriahi dengan kehadiran anak-anak orang asli untuk menjamu selera. Sesungguhnya program ini telah berjaya mencapai objektif yang digariskan iaitu menjalinkan hubungan silaturrahim dan mengeratkan ukhuwwah dengan mengenepikan perbezaan etnik, pangkat dan kedudukan.